SAINGAN Mobile Legends Bang Bang (MLBB) 2023 membuka tirai perlawanan pembukaan dengan kemenangan Home Bois yang cemerlang menewaskan HAQ dengan pungutan mata 2-0.

Menurut Pengurus Pasukan Homebois, Nazreen Mohd Nasir menjelaskan kehadiran jurulatih dari Filipina, Steve Dale Vitug dan dua pemain import dari Indonesia, Rizky Agustian dan Arya al Nazhari jelas memberi impak yang sangat besar kepada pasukan Homebois.

Dengan adanya gabungan idea dari tiga buah negara di Asia Tenggara ini, Homebois dilihat memanfaatkan setiap idea dari negara jiran dan menyesuaikan dengan permainan dalam suasana pertandingan di Malaysia.

“Dua orang import dari Indonesia sangat bagus. Bakat yang kita ingin cari di Malaysia kita tidak jumpa, jadi kita terpaksa memberi peluang kepada negara jiran, Indonesia. Impaknya memang besar kerana mereka ada yang Homebois perlukan.

“Kita ada seorang jurulatih Filipina yang kita akan jadikan sebagai role model. Kita ada keunikan sendiri. Apa yang kita buat… gabungkan dua gaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketiadaan Soloz atau nama sebenarnya Mohd Fariz Zakaria yang menjadi tanda tanya akhirnya terjawab apabila dia disahkan sedang menunaikan ibadat umrah.

Ia merupakan sebab mengapa mereka membariskan Muhammad Haniff Abdul Rashid dalam skuadnya pada perlawanan menentang HAQ.

“Soloz ini sebenarnya pergi umrah. Jadi, dia tidak memiliki masa untuk berlatih bersama kami. Mungkin minggu kedua atau ketiga, dia akan kembali berlatih. Kita tidak boleh mengacau dia sedang beribadat,” katanya.

Untuk pertandingan seterusnya, Homebois bakal berdepan Team Secret untuk mengutip mata bagi memastikan mereka berjaya mengekalkan konsistensi dan taktikal mereka.