PERLAWANAN penting buat Terengganu FC malam ini pastinya akan lebih sengit apabila mereka tekad untuk menebus kekalahan tempoh hari setelah tewas 0-1 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super 2024/25.
Walau bagaimanapun, kelebihan beraksi di laman sendiri malam ini tidak menjadi satu keselesaan buat tonggak pertahanan Terengganu FC, Safwan Mazlan yang mengakui harus berjaga-jaga dengan skuad PDRM FC yang dianggap satu pasukan licik.
Menurut Safwan, Sang Penyu tidak sesekali memandang rendah terhadap kemampuan PDRM FC tambah lagi dengan kekuatan pemain import mereka yang menjadi jentera utama pasukan kendalian P Maniam.
“Bagi saya, kita kena berjaga-jaga dan tidak boleh pandang rendah dengan PDRM. Terengganu tahu PDRM punya dari segi serangan bagus, jadi saya sebagai pertahanan perlu berwaspada dengan mereka.
“Import mereka pun masing-masing kuat dan boleh beri saingan sengit kepada kami. Contohnya, Ifedayo yang kita semua tahu dia sangat berpengalaman dalam Liga Malaysia. Jadi kita perlu lebih mengawasi gandingan dia dan juga Bruno Suzuki.
“Saya dan pasukan juga tidak boleh terlalu yakin untuk menang kerana PDRM pasukan yang kuat, tapi saya dan rakan sepasukan akan berusaha lakukan yang terbaik untuk dapatkan tiga mata malam ini, InsyaAllah,” ujar Safwan kepada FLASH SUKAN.
Terengganu FC kini tidak boleh begitu selesa dengan kedudukan terkini di carta Liga Super walaupun sedang menduduki tempat ketiga, di bawah pasukan Selangor FC.
Misi Sang Penyu untuk buru tiga mata dalam perlawanan malam ini dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, dimana menyaksikan skuad PDRM bertandang sebagai pasukan pelawat.