PEMAIN berpengalaman dan kapten Croatia, Luka Modric berasa bangga dengan rakan sepasukannya apabila sekali lagi layak ke peringkat separuh akhir Piala Dunia meskipun dianggap pasukan kerdil sebelum kejohanan ini bermula.
Menerusi temubual yang dilakukan bersama stesen televisyen Sepanyol, Modric juga mendedahkan dia sudah berkata kepada rakan-rakan di Real Madrid supaya memerhatikan Croatia di Piala Dunia ini.
Modric turut berkongsi faktor utama yang membawa Croatia sejauh ini dan tidak sabar untuk menentang Argentina, pasukan yang disifatkan olehnya sebagai salah satu pasukan terbaik di dunia.
“Ianya menakjubkan untuk berada di separuh akhir Piala Dunia sekali lagi, apa yang pasukan ini lakukan adalah sesuatu yang sangat hebat dan kami akan berikan persembahan maksimum kerana itu adalah kekuatan kami.
“Ianya normal untuk semua orang tidak meletakkan kami sebagai pasukan pilihan kerana kami adalah negara yang kecil namun ianya bukanlah masalah buat kami kerana itu adalah perkara yang diluar kawalan kami.
“Sebelum beraksi di Piala Dunia, saya ada berbual dengan teman sepasukan di Real Madrid supaya mereka memerhatikan Croatia kerana pasukan kami dibarisi pemain yang matang dan berpengalaman serta beberapa muka baharu yang menambah kualiti dan tenaga pasukan ini.
“Jurulatih memberitahu satu perkara yang saya tidak perasan iaitu kami hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan sejak Kejohanan Eropah dan ini adalah sesuatu yang mengagumkan dan untuk kembali ke separuh akhir, ianya sangat besar buat pasukan dan negara ini.
“Untuk mencapai tahap ini kami menunjukkan mentaliti yang sangat kuat. Tahap keyakinan pemain juga berada pada tahap terbaik terutama apabila kami terpaksa berhadapan dengan dua penentuan penalti dan saya berbangga dengan penjaga gol kami yang menunjukkan dirinya adalah penjaga gol yang hebat,” katanya dalam temubual itu.
Dia dibawa keluar ketika menentang Jepun hanya memerhatikan Croatia menang penentuan penalti dan dia menjaringkan penalti ketika menyingkirkan Brazil dan Modric berkata dia lebih memilih untuk berada di padang ketika penentuan penalti berbanding di bangku simpanan kerana tekanan lebih kuat di luar padang.
Describe this mental strength in one word! ✍️#FIFAWorldCup #Qatar2022 #Family #Vatreni❤️🔥 pic.twitter.com/p82D4eaFo8
— HNS (@HNS_CFF) December 10, 2022
“Mana yang saya pilih? Ianya lebih sukar ketika di tepi padang kerana anda tidak boleh membantu pasukan tetapi apabila anda mengambil penalti anda hanya perlu tenang dan yakin dan segala kawalan ada pada diri anda sendiri”, tambahnya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tangan emas Livakovic bawa Croatia ke separuh akhir Piala Dunia, singkir Brazil menerusi sepakan penalti
Melihat kepada aksi separuh akhir, Modric mahu memberikan segalanya apabila turun bermain dan bukan hanya bersemuka dengan Lionel Messi tetapi keseluruhan pasukan Argentina dan berharap dapat layak ke final sekali lagi.
“Argentina adalah pasukan yang besar dan saya tidak mahu hanya bertarung dengan seorang pemain sahaja. Sudah tentu Messi adalah pemain terbaik mereka dan kami akan mempunyai banyak kesukaran untuk menyekatnya tetapi kami sudah bersedia dan akan berikan segala-galanya.
“Kami cuba jadikan ini adalah perlawanan terbaik dalam hidup kami sepanjang kejohanan dan berharap ianya cukup untuk membawa kami ke final,” jelasnya yang tidak mempunyai pasukan pilihan sebagai lawan sekiranya layak ke final.
Croatia layak ke separuh akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022 selepas mengejutkan pasukan pilihan, Brazil 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 selepas masa tambahan dan kini bersedia mengejutkan satu lagi calon juara, Argentina dalam aksi di Stadium Ikonik Lusail pada Rabu.