ARENA bola sepak negara terus berduka apabila seorang lagi bekas pemain kebangsaan dan Pulau Pinang, Moey Kok Hong meninggal dunia, pagi tadi.

Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kok Hong meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

“FAM mengucapkan takziah kepada keluarga Moey Kok Hong atas pemergian bekas pemain kebangsaan dan Pulau Pinang era 90-an itu akibat komplikasi jantung, pagi tadi.

“Mendiang pernah menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada kempen Piala Tiger 1998 dengan beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura di Hanoi, Vietnam di bawah kendalian Hatem Souisi,” kata kenyataan FAM pada Rabu.

Selain itu, Kok Hong turut beraksi ketika perlawanan persahabatan di antara Pilihan Malaysia bertemu Arsenal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada tahun 1999 di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim.

Mendiang pasti diingati ketika menjaringkan gol penyamaan Pulau Pinang di Stadium Shah Alam, sebelum Merzagua Abderrazak melengkapkan malam gemilang bagi meraih kejuaraan Liga Perdana 1 tahun 1998.

Semalam, legenda bola sepak negara, Khalid Ali dilaporkan meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas hampir setahun bertarung dengan kanser paru-paru. Difahamkan, Khalid meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sekitar jam 3 petang.