KETUA Jurulatih Bola Sepak Wanita Kelab Red Eagle (Kedah), Mohd Irwan Rashidi berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengkaji semula program akar umbi yang sedia ada dalam memperkasa bola sepak wanita kebangsaan.

Dia meminta jasa baik FAM menilai pandangannya agar bola sepak wanita bergerak seiring dengan bola sepak kategori lelaki dan bukan hanya sebagai pelengkap kalendar FIFA.

“Dulu saya ada cakap. Setiap kali mesyuarat dengan FAM pun saya pernah bercakap. Saya beritahu mereka kalau kita hendak lebih baik, menang dan terkenal boleh dilakukan, tetapi kita harus bermula dari sekolah rendah.

“Contohnya MSSM (Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia), MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah), daerah dan sebagainya. Sekarang ini, pemain wanita ini terus boleh bermain tanpa melalui kesemua fasa ini.

“Jadikan bola sepak wanita ini ada kejohanan lelaki seperti Piala Belia, Piala Presiden yang konsisten sehingga setahun.

“Perempuan ini pun dipandang sebelah mata, hanya buat syarat untuk berada dalam kalendar FIFA sahaja. Tiada perlawanan di tahap kompetitif,” katanya kepada FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: “Soleen beri nafas baharu bola sepak wanita Malaysia”- FAM

Ketika membimbing pasukan bola sepak wanita Kedah, dia mengakui bakat kaum orang Asli tidak kurang hebatnya dan mampu bersaing serta memiliki bakat tersendiri.

Justeru, bakat kaum orang Asli ini perlu digilap dan diselami agar mereka diberi peluang sama rata beraksi demi negara.

“Saya tengok baru-baru ini apabila saya membawa pasukan bola sepak wanita Kedah, bakat dari orang Asli memang ada, cuma perlu digilap banyak lagi. Walaupun mereka duduk pedalaman tetapi mereka hebat. Kita harus selami orang Asli ini dengan lebih mendalam,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia turut berbesar hati seandainya Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Kebangsaan, Soleen Al-Zoubi sudi turun padang ke Kedah melihat sendiri landskap bola sepak wanita tempatan.

“Kalau diberi peluang, memang saya mahu dia hadir. Pemain wanita ini dia tak macam lelaki. Dia ada period. Mungkin hari ini dia bermain baik, esok lusa mungkin ada sedikit moody dan cepat terasa,” jelasnya.

Sementara itu, dia menegaskan untuk mencontohi negara Gajah Perang itu yang sentiasa mengadakan perlawanan kompetitif untuk memastikan bola sepak wanita Thailand bergerak seiring dengan kemampuan pemain lelaki yang mereka ada.

“Kita ambik contoh Thailand, mereka ada banyak perlawanan kompetitif. Walaupun liga mereka kampung-kampung, marketing dia memang tip top,” kongsinya.

Pencapaian bersama kelab dan individu :

Red Eagle

2021
Johan – WIS Penang
2022
– Naib juara – Pearl cup
– Ke-3 – Pearl cup
– Champoin Plate – YDP Sime Darby Cup
– Naib johan – Copa Cup Penang

Sebagai penolong jurulatih

2016 – Tempat ke 3 Piala Tun Sharifah Rodziah (UUM)
2017
– Johan Liga Bola Sepak Rakyat ( wanita)
– Naib johan Piala Tun Sharifah Rodziah (Miri)

2018
– Juara PTSR (UiTM Shah Alam)
2019
– Naib johan Piala Tun Sharifah Rodziah

Ketua jurulatih wanita pulau pinang

2022
– Juara liga wanita national (zon utara)
– Layak 8 team terbaik peringkat kebangsaan Piala Tun Sharifah Rodziah

 

Ketua Jurulatih B-16 Wanita Kedah

2022
– Naib juara B-16 Malaysia Little League