EKSKLUSIF oleh MOHD FARIQ
MOHD Saifuddin Abu Bakar meletak jawatan selaku Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memberi tumpuan kepada urusan peribadi.
“Ya menang benar saya ada menghantar surat letak jawatan minggu lepas atas sebab-sebab peribadi.
“Saya ingin fokus kepada tugas lain di luar bidang,” katanya ringkas ketika dihubungi malam ini.
Satu mesyuarat khas ahli jawatankuasa eksekutif FAM akan diadakan esok (Selasa) bagi membincangkan keputusan Mohd Saifuddin.
FLASH SUKAN dimaklumkan bahawa Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, sudahpun dimaklumkan mengenai hasrat Mohd Saifuddin minggu lalu, lantas membuat keputusan untuk membincangkannya dalam mesyuarat khas Exco.
Mohd Saifuddin secara rasmi memulakan khidmatnya selaku Setiausaha Agung pada 1 September 2021, menggantikan Stuart Michael Ramalingam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL bermula tarikh yang sama.
Mohd Saifuddin, 61, adalah anak kelahiran Melaka yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam tadbir urus bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Beliau pernah menjawat tugas selaku Penolong Setiausaha Agung FAM dari 2007-2008. Terdahulu beliau menjawat tugas di pelbagai unit dalam FAM dari 1995 hingga 2003, termasuk sebagai ketua jabatan pertandingan yang melancarkan Liga Super, penolong ketua jabatan pengadil dan penolong ketua jabatan teknikal.
Mula menceburi bidang tadbir urus bola sepak sebagai pegawai Pembangunan Teknikal dan Remaja Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pada 1991, Mohd Saifuddin juga pernah menjawat tugas sebagai Pegawai Pertandingan dan Pengurusan Acara Serantau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari 2003 hingga 2007.
Selepas meninggalkan FAM pada 2009, Mohd Saifuddin dilamar oleh penganjur liga profesional Qatar, Qatar Stars League untuk memegang tugas sebagai penolong ketua pertandingan liga sebelum berkhidmat sebagai perunding teknikal Oman FA dengan skop tugas selaku Pengurus Pertandingan Liga dan Pelesenan Kebangsaan dari 2012 hingga 2019. Beliau juga adalah Komisioner Perlawanan FIFA dan AFC.
Berdasarkan pengalamannya, Mohd Saifuddin dijangka memberi tumpuan kepada tugasan-tugasan selaku komisioner perlawanan.
Beberapa nama disebut-sebut dipertimbang sebagai calon pengganti Mohd Saifuddin. Mereka termasuk bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United, Noor Azman Rahman, Penolong Setiausaha Agung, Abang Zulkarnain Abang Abdurrahman dan Pengarah Pentadbiran dan Kewangan FAM, Saeidahtun Abdullah.