FOTO : Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu
TERENGGANU Football Club Sdn Bhd (TFCSB) melantik Mohd Syahrizan Mohd Zain sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu, menurut kenyataan TFC pada Selasa.
Keputusan pelantikan telah dibuat secara rasmi melalui Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB tahun 2023 yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim.
“Kami dari seluruh keluarga besar Terengganu Football Club ingin mengucapkan tahniah buat Mohd Syahrizan Mohd Zain atas pelantikan sebagai Ketua Pegawai Operasi Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu.
“Mohd Syahrizan sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal di TFCSB dan antara individu yang banyak menyumbang dalam perkembangan kelab ini sejak Terengganu FC diwujudkan pada tahun 2018.
“Pelantikan ini juga adalah kesinambungan dari keputusan temuduga yang telah diadakan pada bulan Oktober yang lepas.
“Keluarga besar Terengganu Football Club sekali lagi ingin mengucapkan tahniah serta selamat bertugas buat Encik Mohd Syahrizan Mohd Zain! ,” kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, penyokong skuad Peteh menyambut baik pelantikan tersebut dan menaruh keyakinan tinggi buat Mohd Syahrizan menjalankan amanah yang dipikul.
“Tahniah bos atas pelantikan. Semoga dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh dedikasi,jujur serta ikhlas kerana Allah.
“Insya Allah, TFC akan lebih berjaya dan dihormati serta disegani di masa hadapan,” kata Shamshull Anuar.
Sementara itu, Mohd Ridzuan Mansor pula berkata : “Tahniah Syah! Semoga memacu TFC ke peringkat lebih tinggi dan lebih banyak kejayaan dapat digondol. Selamat bertugas!.”