KERAJAAN harus mempertimbang pelawaan daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menggantikan Victoria (Australia) selaku tuan rumah Sukan Komanwel 2026.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, tawaran sekali seumur hidup itu bakal memberi banyak manfaat termasuk mengembalikan Malaysia ke dalam peta sukan dunia.

Beliau berkata, peluang ini juga menjadi kesinambungan selepas kali terakhir Kuala Lumpur menganjurkan temasya itu pada 1998.

Tawaran dari CGF, satu peluang buat Kuala Lumpur yang kali terakhir menganjurkannya pada 1998.

“CGA (Persatuan Sukan Komanwel) Malaysia dan SGF sudah berbincang berhubung peluang buat Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026. Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998.

“Oleh itu, CGA Malaysia berpendapat bahawa Kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini, termasuk sokongan dan pelaburan berkaitan, yang menjayakan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali berada di peta sukan dunia.

“Dengan fasiliti berkelas dunia yang sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya. Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.

Kenyataan media dikeluarkan Majlis Olimpik Malaysia.

“Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia,” kata Norza dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Kelmarin, Menteri KBS, Hannah Yeoh dipetik sebagai berkata, pihaknya sedang menyediakan kertas Kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada Jemaah Menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

“Kita sedang melakukan kajian di peringkat Kementerian Belia dan Sukan dan kita akan serahkan semua hasil kajian kita kepada jemaah menteri untuks atu keputusan, jadi kita kena tunggu.

“Ada banyak faktor yang perlu diteliti jadi saya tidak boleh komen pasal kewangan sahaja, kita tunggu sudah almost ready,” kata Hannah dalam satu majlis, kelmarin.

Sebelum ini, Victoria dilaporkan menarik diri sebagai tuan rumah bagi edisi ke-23 itu atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 bilion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion).

Kerajaan Victoria juga dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta kerana melanggar kontrak, apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula 17-29 Mac, 2026.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel adalah pada 1998 dan kini Malaysia kembali memperoleh peluang menganjurkannya pada 2026 selepas Victoria menarik diri sebagai penganjur.

CGF membuat tawaran kepada Malaysia untuk menggantikan Victoria dan ia dilihat sebagai peluang terbaik apatah lagi ia hadir dengan suntikan dana sebanyak 100 juta pound (RM602 juta) bagi melaksanakannya.

Justeru itu, susulan daripada pelawaan rasmi CGF kepada MOM dan CGA Malaysia bulan lalu, MOM sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.