MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mahu acara sukan di Temasya Sea Thailand 2025 selari dengan acara yang bakal dianjurkan pada temasya seterusnya di Kuala Lumpur 2027, dalam usaha memastikan kesinambungan persediaan atlet tidak terjejas.

Presiden MOM, Tan Sri Muhammad Norza Zakaria berkata, jawatankuasa sukan MOM diketuai Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan mengkoordinasi acara sukan yang akan dicadangkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SeaGF), yang akan berlangsung Januari depan, di Bangkok.

“Datuk Nazifuddin akan berbincang dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengkoordinasi acara sukan yang kita nak pertahankan supaya dimasukkan ke Thailand kerana kita mahukan acara yang agak sama dipertandingkan pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah.

“Kita tak mahu acara sukan dipertandingkan di Thailand nanti terlalu banyak berbeza dengan Kuala Lumpur, supaya program yang kita laksanakan nanti konsisten, dengan kata lain atlet pelapis yang kita perkenalkan di Thailand boleh peak pada 2027 ketika kita menjadi tuan rumah,” kata Norza.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Eksekutif Ahli Majlis MOM ke-206 dan Mesyuarat Agong Tahunan ke-42, di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Dalam pada itu, Norza membayangkan kemungkinan sasaran warna pingat akan tetap digunakan pada temasya Sukan Sea Thailand 2025, kerana temasya terbabit bersifat pembanugnan dan persahabatan.