BERTRAND Rhodict Lises dan Nur Shazrin Mohamad Latif diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perarakan Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam satu kenyataan yang dikongsikan di laman sosial rasmi badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan (PSK) itu, hari ini.
“Penerjun, Bertrand Rhodict Lises dan pelayar, Nur Shazrin Mohamad Latif diberi penghormatan sebagai pembawa bendera Malaysia pada Sukan Olimpik ke-33 di Paris yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan,” kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan itu.
Menurut beliau, selepas menyenarai pendek dan mengambil kira beberapa faktor termasuk jadual pertandingan, Lembaga Eksekutif MOM memilih Bertrand dan Nur Shazrin sebagai pembawa Jalur Gemilang pada perarakan masuk kontinjen.
“Pemilihan Bertrand dibuat kerana kali pertama beraksi di pentas Olimpik manakala Nur Shazrin pula kerana berpengalaman, sekali gus membawa maksud meraikan masa hadapan dan mengalu-alukan yang sedia ada,” kata Norza.
Bertrand, 19, muncul atlet negara pertama layak ke Temasya Paris, malah pemilihannya menjadikan dia anak Sarawak keempat sebagai pembawa Jalur Gemilang di pentas Olimpik, selepas atlet olahraga, Kuda Ditta (Rome 1960), Bryan nickson Lomas (Athens 2004) dan Datuk Pandelela Rinong (London 2012).
Kedua-duanya cemerlang pada Sukan Asia Hangzhou tahun lalu setelah Bertrand meraih pingat gangsa 10m platform seirama manakala Nur Shazrin pula meraih emas dalam acara dinghy, yang melayakkannya ke Paris.
Acara pembukaan Sukan Olimpik Paris dijangka berlangsung di Sungai Seine dan kontinjen negara akan berarak sejauh 6 kilometer menaiki bot.