MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memuji Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu langkah inklusif yang meneguhkan komitmen kerajaan dalam membangunkan sukan di Malaysia.

Presiden OCM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, menyatakan sokongan terhadap Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dengan menekankan bahawa belanjawan tersebut menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong pembangunan sukan Olimpik dan bukan Olimpik di negara ini.

“Program utama seperti Road to Gold (RTG) dan Podium terus menyediakan latihan serta sumber bertaraf dunia untuk atlet negara.

Program RTG diteruskan selepas pengumuman Belanjawan 2025

“Peruntukan kepada bola sepak dan pengecualian cukai kepada penerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) juga menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kecemerlangan sukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr. Norza, Belanjawan 2025 mencerminkan pemahaman mendalam kerajaan terhadap peranan sukan dalam menyatukan dan meningkatkan semangat rakyat Malaysia.

OCM turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas peruntukan langsung sebanyak RM15 juta untuk pembangunan pasukan kebangsaan dan pasukan peringkat umur, yang dianggap sebagai pengiktirafan penting terhadap pembangunan sukan bola sepak negara.

Selain itu, Dr. Norza turut menekankan kepentingan geran padanan yang disediakan untuk menyokong penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan-badan sukan.

Peruntukan langsung sebanyak RM15 juta untuk pembangunan pasukan bola sepak Malaysia. FOTO: FAM

Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan kerjasama lebih erat dengan sektor swasta dan meningkatkan kualiti dalam penganjuran acara sukan di Malaysia.

Pengenalan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang membeli peralatan sukan juga dilihat sebagai langkah progresif untuk menggalakkan penyertaan lebih luas dalam sukan serta membudayakan gaya hidup aktif di kalangan masyarakat.

Pelepasan cukai kepada ibu bapa boleh melalui dengan mendaftarkan anak ke kelab sukan seperti Akademi Hoki Jiwa Mohan, ini juga dilihat sebagai langkah menggalakkan penyertaan lebih luas dalam membudayakan gaya hidup yang sihat dalam kalangan masyarakat.

“Belanjawan ini jelas mencerminkan visi kerajaan untuk mewujudkan ekosistem sukan yang inklusif, satu sistem yang bukan sahaja melahirkan juara tetapi juga mempromosikan kesejahteraan komuniti,” kata beliau mengakhiri kenyataannya.

Belanjawan 2025 tidak hanya menumpukan kepada pembangunan atlet elit tetapi turut merangkumi usaha untuk memperkasakan sukan di peringkat akar umbi dan menggalakkan penyertaan aktif dari segenap lapisan masyarakat.