MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mungkin akan menggunakan beberapa kaedah lain antaranya meletakkan sasaran keseluruhan kutipan pingat dan bukannya kutipan pingat emas di temasya Sukan Asia Hangzhou bermula 23 September ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Nazifuddin Najib memaklumkan bahawa inisiatif itu adalah salah satu cadangan yang dikemukakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelang pengumuman sasaran kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou yang akan dilakukan pada Isnin.

Pendekatan ini dianggap lebih sesuai bagi menilai prestasi keseluruhan atlet negara sebagai satu kontinjen daripada mengukur pencapaian individu menerusi sumbangan pingat emas sahaja.

“Kita mengadakan mesyuarat penetapan pingat semalam atau dua hari lepas sama ada mahu umumkan sasaran pingat emas atau cuma meletakkan sasaran pungutan pingat secara keseluruhan.

“Dua fokus itu sudah diberikan kepada menteri untuk dia membuat keputusan yang mana lebih sesuai untuk pengumuman rasmi pada Isnin.

Mohamad Shah Firdaus Sahrom dipilih pembawa Jalur Gemilang Sukan Asia Hangzhou.

“Yang paling penting adalah pencapaian keseluruhan untuk semua atlet kerana kita mahu dilihat sebagai satu kontinjen yang boleh berikan pungutan pingat yang sesuai dengan saiz kontinjen.

“Kita pun tidak mahu melihat emas ini menjadi topik utama untuk kontinjen negara, tetapi yang penting semua sukan yang kita hantar ada prestasi baik di Sukan Asia,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-205.

Selain itu, Nazifuddin juga berkata, cadangan ini langsung tidak ada kena mengena dengan kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran pungutan pingat emas ketika Sukan Sea Kemboja Mei lalu.

“Kita perlu asingkan prestasi Sukan Asia dan Sukan Sea kerana Sukan Sea adalah medan pendedahan dan kebanyakkan mereka bersaing buat pertama kali tetapi Sukan Asia bukan lagi di tahap pendedahan tetapi kita hendak melihat atlet yang bertanding berada dalam ranking yang baik,” tambahnya.

Sebagai rekod, ketika Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Malaysia menghantar 417 orang atlet dan berjaya mencapai sasaran membawa pulang tujuh pingat emas, 13 pingat perak dan 16 pingat gangsa untuk menduduki tangga ke 14 keseluruhan.

Untuk Sukan Asia kali ini yang sudah tertunda selama setahun, Malaysia menghantar kontinjen seramai 294 atlet yang akan mengambil bahagian dalam 29 acara daripada 40 jenis sukan yang. dipertandingkan.