PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria mahu mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mencari jalan mewujudkan peruntukan buat pembikin filem yang mahu menghasilkan filem berunsur sukan di Malaysia.

Dia yang ditemui ketika tayangan filem Gemencheh Boys bersama karyawan sukan di sebuah pawagam di ibu negara turut mengakui bahawa filem berunsur sukan mampu menaikkan semangat patriotisme, perpaduan serta boleh menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk berjaya dalam sukan.

“MOM ingin memohon kepada pihak kerajaan khususnya melalui kementerian yang berkaitan dan juga KBS untuk melihat bagaimana kita nak adakan satu peruntukan untuk kita mewujudkan mungkin satu tabung supaya membantu mereka-mereka yang berminat untuk melahirkan filem-filem yang melambangkan kejayaan sukan kita.

“Bukan itu saja yang boleh menyatukan rakyat kita dan menjadi satu komponen ataupun alat penyatuan kepada masyarakat kita kerana melalui sukan lah mereka akan rasa patriotik, mereka akan rasa bersemangat dan memberi sumber inspirasi kepada anak-anak muda untuk ikut jejak ahli-ahli sukan ini.

“Ini adalah salah satu cara kita untuk memberi terutama generasi muda agar mereka berminat untuk menceburi bidang sukan,” katanya ketika ditemui media.

Norza juga tidak menolak kemungkinan MOM boleh menjadi perunding kepada pembikin filem untuk memilih detik-detik manis sukan Malaysia atau pun atlet mana yang boleh diangkat menjadi sebuah karya yang mengesankan masyarakat Malaysia.

“MOM mempunyai arkib dan atlet seperti Datuk Nicol David, Datuk Shalin Zulkifli dan Datuk Azizulhasni serta pasukan badminton kita yang boleh dijadikan skrip yang hebat. Kementerian Perpaduan contohnya boleh meletakkan perkara ini sebagai satu komponen penting dan kami cuba untuk cadangkan kepada pihak kerajaan tentang perkara ini,” jelasnya.

Dia turut memuji kandungan filem ini yang dilihat sebagai satu ‘eye-opener‘ untuk rakyat Malaysia kerana ia melambangkan budaya dan kehidupan harian masyarakat Malaysia serta membawa semangat patriotisme melalui filem.