USAHA Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu menubuhkan sebuah organisasi yang terdiri daripada wakil badan induk itu dan agensi kerajaan untuk menyelia program sukan berprestasi tinggi terutama bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Usaha pembentukan itu sudah setahun diusul dan dicadangkan namun kemelut politik tanahair yang menyaksikan perubahan tampuk kepemimpinan Menteri Belia dan Sukan, menyaksikan usaha itu tertangguh sehingga kini.

Justeru itu Presiden MOM, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria mahu kepimpinan kementerian di bawah menteri baharu, Hannah Yeoh dapat merealisasikan hasrat badan induk itu yang bakal menjadi wadah kepada perancangan jangka sederhana dan panjang tanpa diganggu gugat perubahan struktur kerajaan ataupun politik.

Mohamad Norza mahu satu organisasi bebas yang tidak akan tergugat sekiranya iklim politik negara berubah, bagi memastikan pengurusan program sukan berprestasi tinggi berjalan lancar.

“Saya bangkitkan isu ini dengannya (Hannah), kita perlu menyusun satu struktur yang bebas daripada permasalahan politik,” kata Norza dalam sidang media selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM ke-203 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Hannah hadir merasmikan mesyuarat berkenaan selain sempat bersua muka dengan wakil persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah MOM.

“Ini bagi memastikan perancangan jangka sederhana dan panjang kita tidak terganggu oleh perubahan politik (seperti yang berlaku sebelum ini). Reaksi awalnya, adalah positif dan kami berharap beliau kekal (sebagai menteri Belia dan Sukan) untuk lima tahun supaya perancangan itu dapat berjalan lancar.”

Pada November tahun lalu, MOM mencadangkan penubuhan organisasi dan cadangan itu pernah disuarakan bekas Menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sewaktu ‘post mortem’ sebaik tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020.