MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sedia untuk memenuhi harapan rakyat Malaysia dengan menambah baik reka bentuk pakaian kontinjen ke pentas Olimpik 2024, ekoran ketidakpuasan hati penggemar sukan tanah air terhadap pakaian yang dilancarkan sebelum ini.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, satu perbincangan MOM bersama dengan Yonex akan dilakukan bagi membuat penambahbaikan terhadap pakaian rasmi kontinjen tersebut.

Jelas bahawa kritikan yang diterima daripada para netizen telah berjaya mengubah persepsi dan keputusan pihak terbabit untuk menukar reka bentuk pakaian, kearah lebih mencerminkan lambang kegarangan ‘Harimau Belang’.

Rekaan jaket rasmi tidak diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia.

“Selepas mengambil kira maklum balas daripada semua pihak, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan para peminat sukan negara, MOM akur bahawa reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.

“Berhubung logo MOM yang memaparkan bendera Malaysia sedang berkibar, ia adalah sebahagian daripada logo MOM yang merangkumi kibaran bendera Malaysia bersama lima gegelung Olimpik.

“Oleh itu, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang,” ujar beliau menerusi satu kenyataan.

Terdahulu, kit pakaian kontinjen negara yang telah dilancarkan di bangunan TRX Kuala Lumpur menerima pelbagai reaksi kurang manis sekali gus mendapat hentaman daripada majoriti netizen yang melihatnya.