INDUSTRI sukan di negara ini bakal kembali meriah menerusi keputusan kerajaan yang bersetuju menganjurkan Sukan Sea 2027.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) amat mengalu-alukan keputusan menganjurkan temasya sukan serantau kali ke-34 itu, yang diyakini membawa manfaat merentasi dimensi politik, ekonomi dan sukan itu sendiri.
Dalam satu kenyataan yang diedarkan, MOM berkata, temasya dwi tahunan itu akan memberi dampak positif kepada seluruh negara.
“MOM sebagai pengelola pelbagai sukan di Malaysia, berterima kasih kerajaan kerana bersetuju menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027.
“Keputusan ini membuktikan komitmen Malaysia untuk mempromosi sukan dan memupuk kerjasama serantau,” kata MOM.
Negara memiliki rekod cemerlang selama menganjurkan Seap dan Sukan Sea pada tahun 1865, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Malah pada kali terakhir menjadi tuan rumah, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan pencapaian 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa dimenangi.
Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) menawarkan Malaysia menerusi Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) untuk menganjurkan Sukan Sea 2027 pada 2022.
Artikel Berkaitan:
Kerajaan beri lampu hijau jadi tuan rumah Sukan SEA 2027
Sukan Sea 2027 : Empat negeri bakal jadi penganjur bersama
Pengesahan Malaysia sebagai tuan rumah itu, sejajar dengan keputusan Thailand dan Singapura, yang bersetuju menjadi tuan rumah temasya 2025 dan 2029.
Semalam, menerusi satu kenyataan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan kerajaan Malaysia bersetuju untuk menjadi tuan rumah Sukan Sea 2027 dan mengesahkan, Kuala Lumpur akan bersama-sama Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang yang menyatakan kesediaan menggunakan peruntukan masing-masing bagi menganjurkan temasya itu.