PENGURUS interim Manchester United, Ruud van Nistelrooy menghidupkan suasana penuh emosi di Old Trafford selepas kemenangan Manchester United 3-0 ke atas Leicester City, namun beliau menegaskan bahawa saat itu bukanlah tanda perpisahan tetapi lebih kepada sambutan momen indah bersama penyokong.

Bagi Nistelrooy, perlawanan terakhirnya sebagai pengurus interim ini hanyalah penutup bagi tempoh empat perlawanan yang bermakna, bukan selamat tinggal.

Selepas Erik ten Hag dipecat, Nistelrooy mengambil alih pasukan dan mencatat tiga kemenangan serta satu seri dalam tempoh pendek tersebut.

“Tidak, ini bukan perpisahan, Ini lebih kepada menutup babak ini buat sementara dan meraikan keindahan momen di sini.

“Penyokong memberikan sambutan yang luar biasa, dan ia adalah tanda terima kasih saya kepada mereka,” katanya.

Para penyokong turut menyanyikan namanya, dan ketika dia berjalan ke Stretford End selepas wisel penamat, laungan “Ruuudddd!” bergema di segenap stadium, menandakan rasa hormat dan sokongan peminat terhadapnya.

Kini, Nistelrooy menantikan keputusan sama ada dia akan terus bersama pasukan di bawah pengurus baharu, Ruben Amorim, yang dijangka tiba pada Isnin. Namun baginya, momen itu hanyalah penutupan satu babak kecil dalam kariernya di kelab.

“Saya merasakannya sebagai penutupan tempoh empat perlawanan ini, tetapi masa depan masih terbuka. Ia adalah saat istimewa untuk dikongsi bersama penyokong,” kata bekas penyerang United itu.

Di bawah bimbingan  Nistelrooy, kapten United, Bruno Fernandes, menemui semula sentuhan golnya selepas kemarau jaringan dalam 17 perlawanan sebelumnya, malah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan terakhir.

Nistelrooy menjelaskan, tumpuannya sebagai pengurus interim adalah untuk memberikan kestabilan serta meningkatkan keyakinan pemain dalam waktu singkat selepas permulaan musim yang penuh cabaran.

Bruno Fernandes, menemui semula sentuhan golnya selepas kemarau jaringan dalam 17 perlawanan sebelumnya, malah menjaringkan empat gol dalam empat perlawanan terakhir.

“Sebagai interim, fokus saya ialah mengekalkan gaya permainan yang biasa bagi pemain sambil menambah sedikit sentuhan peribadi, sama ada dengan perubahan posisi, memberi rehat kepada pemain atau mencipta formasi baharu,” jelasnya.

Dalam tempoh empat perlawanan itu, Nistelrooy percaya dia berjaya menanam asas perpaduan yang kuat serta semangat pasukan yang tinggi.

Walaupun tempoh tugasnya dipanjangkan untuk memberi laluan kepada Amorim menyelesaikan komitmen bersama Sporting, van Nistelrooy amat menghargai kejelasan yang diberikan oleh kelab.

Baginya, penghormatan daripada kelab dan kepercayaan yang diberi membuktikan hubungan kukuh antara pengurus dan pihak pengurusan.

Kini, Nistelrooy bersedia menyerahkan United kepada Amorim dalam keadaan yang lebih stabil dan bersedia untuk mencipta babak baharu dalam sejarah kelab.