BIARPUN Sabah FC bermain tanpa empat tonggak utama, Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.
Aksi separuh masa pertama bermula hangat dengan asakan bertali arus dari kedua-dua pasukan.
Sabah FC bagaimanapun terlebih dahulu berjaya membuka jaringan menerusi tandukan kemas Daniel Sang Ting pada minit ke-14 yang menerima hantaran lintang menarik Kwang Min Ko.
Minit ke-28, Sri Pahang FC kembali bangkit apabila Mohamad Azrif Nasrulhaq Badrulhisham bijak menolak kemas kepada Kpah Sherman untuk gol penyamaan tuan rumah untuk menyaksikan Tok Gajah mengikat Sabah FC 1-1.
Babak kedua semakin panas apabila Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilayangkan kad merah kerana membantah keputusan pengadil dan situasi tersebut memaksanya duduk di bangku penonton.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat menyaksikan Sabah FC mencatat keputusan seri pertama manakala Sri Pahang FC terus buntu mencipta kemenangan seterusnya.