PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora nyata gembira dengan jaringan saat akhir Fernando Forestieri dan mengucapkan tahniah kepada barisan pemain Negeri Sembilan FC kerana berjaya memberikan semangat melawan luar biasa buat pasukannya.
Mora secara jujur menyatakan benteng skuad bimbingan K.Devan itu sangat sukar untuk ditembusi dan NSFC banyak memberikan masalah kepada mereka terutama pada babak pertama perlawanan.
Malah Mora turut menghormati keputusan pengadil yang memberikan tambahan masa 10 minit dan menganggap persembahan pengadil adalah baik dan adil buat kedua-dua pasukan.
“Inilah sebabnya mengapa Fernando Forestieri adalah pemain yang cukup baik. Selagi dia dan pemain-pemain lain berada di atas padang, segala kemungkinan boleh berlaku.
“Ianya adalah satu perlawanan yang cukup sukar. Negeri Sembilan adalah pasukan yang baik. Mereka memberikan tentangan yang hebat dengan mentaliti yang bagus dan kami masalah terutama pada babak pertama,” jelas jurulatih Mexico ini.
Jelas Mora, pemain-pemainnya menghampiri gawang tuan rumah, namun gagal menjaringkan gol.
“Mereka bertahan dengan cukup baik tetapi kami tidak putus asa dan akhirnya berjaya. Tahniah kepada penyokong JDT dan juga kepada pasukan NSFC untuk semangat melawan yang ditunjukkan.
“Jika kita benar-benar mengira masa yang dibazirkan ianya adalah adil. Ianya agak janggal kerana jarang berlaku tetapi ia perlu dilakukan untuk mengembalikan minit permainan yang dibazirkan.
“Pengadil menjalankan tugas dengan baik dan adil buat kedua-dua pasukan dan ianya adalah perlawanan yang sangat baik dan pada saya, ianya adalah adil,” ujar Mora.