KAPTEN hoki lelaki kebangsaan, Marhan Jalil mengakui skuad negara berdepan tekanan tinggi sebelum berdepan China, selepas meletakkan pasukan pada laluan sukar, sehingga Malaysian Tigers gagal ke separuh akhir saingan Sukan Asia Hangzhou, selepas perlawanan anta dua pasukan itu berakhir seri 4-4 semalam (Isnin).
Menurutnya, keputusan diraih itu cukup mengecewakan, meskipun barisan pemain syudah memberi persembahan terbaik pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B itu.
“Satu keputusan negatif dan mengecewakan… kita tak dapat masuk ke separuh akhir dalam masa sama, kita tidak mencapai sasaran yang diletakkan apda kejohanan ini,” kata Marhan.
Mengulas mengenai keputusan akhir perlawanan, Marhan mengakui dia dan rakan-rakan dibebani tekanan, “Sangat tertekan apabila kita mengikut jalan yang sukar dan kami terpaksa melaluinya.
“China juga bermain sangat bagus, mengambil setiap peluang yang mereka ada.”
Begitupun, dia tidak mahu terus dibelenggu kekecewaan apa lagi ketika lilitan kapten berada di lengannya.
“Moral jatuh tapi kami perlu comeback, ini laluan yang kami pilih dan tetap perlu teruskan sehingga habis kejohanan.
“Sebagai kapten, saya akan pastikan rakan sepasukan mengekalkan perasaan positif utnuk bermain pada perlawanan seterusnya.
“Perlawanan itu cukup signifikan kerana kemenangan akan menambah mata ranking yang amat penting bagi kita menghadapi saingan kelayakan terakhir ke Olimpik nanti.”
Berkongsi satu mata dengan China semalam, bermakna pasukan tuan rumah muncul juara kumpulan B dengan 13 mata, mengatasi Korea di kedudukan kedua (12 mata), manakala Malaysia ketiga dengan 9 mata.
Ironinya, China berjaya mengelak daripada menentang pilihan utama dari India, di separuh akhir nanti dan mereka akan berdepan Jepun.