KUALA Lumpur CITY FC kini sudah tiba di Kolkata, India untuk menghadapi perlawanan terbesar dalam sejarah kelab, separuh akhir antara zon bertemu ATK Mohun Bagan di Stadium Salt Lake pada Rabu.
Disebabkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru sahaja menarik balik sekatan ke atas Persatuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), perlawanan ini hanya kembali dijadualkan pada saat akhir yang menimbulkan kesukaran kepada pasukan KL City.
Mereka menempuh enam hari yang meletihkan kerana berada lama dalam perjalanan bermula dari penerbangan ke Kota Kinabalu untuk bertemu Sabah dan selepas itu melalui proses pembuatan visa dan perjalanan ke Kolkata yang panjang.
#CityBoys at the start of the AFC Cup Inter-Zone Semi Finals! #KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/0JFaz7FFgv
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 5, 2022
Namun Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC Stanley Bernard yang ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN tetap yakin dengan kemampuan pasukannya yang sedang berada pada momentum yang terbaik.
Stanley menyatakan segala persiapan berjalan dengan lancar dan apa yang membezakan perlawanan kali ini dengan ketika bertemu Viettel adalah masa rehat yang lebih panjang.
“Dari segi moral dan persiapan tidak banyak berubah dan momentum pasukan sedang meningkat naik. Kami melalui enam hari yang meletihkan bermula dari Sabah dan keputusan visa yang sukar.
Ladies and Gentleman, the moment you have been waiting for 🤲🏻#KLCityFC #KLPride #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/XKecItYF0Y
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 5, 2022
“Akibat daripada itu, tempahan penerbangan terpaksa dilakukan lewat kerana perlawanan ditentukan pada saat akhir. Jika awal sedikit kita akan mendapat penerbangan dengan jumlah jam transit yang lebih baik. Kini kami memerlukan 24 hingga 48 jam untuk pemulihan dan mendapat rehat yang mencukupi.
“Bertemu Viettel sedikit berbeza kerana kami bersedia lebih awal dan ‘settle down’ lebih pantas namun ini semua bukan alasan dan KL City kini adalah satu skuad yang meningkat naik di Piala AFC ini,” jelas Stanley.
Bekas pemain kebangsaan ini juga berkongsi pengalamannya ketika beraksi di Liga India bersama kelab Sporting Club De Goa dengan menyatakan Liga India telah banyak menunjukkan peningkatan berbanding 20 tahun lalu.
“Pengalaman ketika bermain di India dahulu, ramai pemain tempatan hadir dari keluarga yang susah jadi mereka bekerja keras jika dapat bermain bola sepak dan memberikan 120 peratus ketika latihan.
Pada ketika itu, aspek teknikal pemain agak kurang tetapi mereka mempunyai kelajuan untuk menampung kekurangan yang ada. Tetapi kini India sudah bertambah baik dan layak ke Piala Asia secara merit lebih awal dari Malaysia dan ini membuktikan Liga India menunjukkan peningkatan.”
Kuala Lumpur City FC layak ke peringkat playoff antara zon ini selepas muncul juara zon Asean menewaskan PSM Makassar 5-2 pada aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.