PENYERANG Kuala Lumpur City FC, Romel Morales gembira meskipun hanya mencatatkan kemenangan tipis ke atas Sri Pahang FC yang dianggap sebagai usaha sepasukan dan akan mengulangi perkara yang sama ketika bertandang ke Kuantan minggu hadapan.
Aksi sepasukan yang dimaksudkan adalah disiplin para pemain yang mengikut arahan taktikal jurulatih dengan menyekat barisan serangan Sri Pahang dan tahu kelebihan yang ada pada individu dalam pasukan hingga dapat mengubah keputusan perlawanan.
“Kami gembira kerana dapat melakukan tugas kami di sini. Sri Pahang adalah pasukan yang baik dan kami diarahkan untuk menyekat barisan serangan mereka kerana Kpah Sherman adalah pemain yang berbahaya dan fokus pada serangan balas yang akhirnya kami berjaya mendapat penalti dan memenangi perlawanan.
“Pasukan berada dalam keadaan yang baik ketika ini dan kami lakukan perkara yang baik serta mendapat keputusan yang kami mahukan. Ini penting untuk meningkatkan keyakinan kami sebagai pemain dan penting untuk menang perlawanan ini tetapi masih ada 90 minit lagi dan kami perlu kerja keras jika ingin layak ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Menyedari mereka hanya mempunyai kelebihan satu gol dan bukan mudah bermain di Kuantan, namun Romel percaya dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya dan perlu bersabar untuk menghukum Tok Gajah di laman mereka.
“Untuk perlawanan kedua nanti, Sri Pahang berada dalam tekanan kerana mereka ketinggalan dan sudah pasti mereka akan lebih menekan kami. Apa yang kami lakukan adalah perlu bersabar dan cari ruang untuk menghukum mereka,” katanya.
Jaringan tunggalnya menerusi sepakan penalti sudah cukup untuk memberikan KL City kelebihan untuk dibawa ke Kuantan dengan slot separuh akhir menjadi taruhan buat kedua-dua pasukan.