ROMEL Morales semakin menghampiri tahap prestasi terbaik seperti sebelum ini.

Kenyataan itu keluar dari mulut pembantu ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KL City), Miroslav Kuljanac selepas melihat Morales meledak hatrik, ketika The City Boys membelasah Kelantan FC 5-1 pada perlawanan ke-18 Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, di Cheras.

Miroslav Kuljanac mahu Romel Morales lebih serius dan profesional, untuk menjadi pemain yang hebat.

“Sekarang, perlahan-lahan dia mendapat rentak dan mengembalikan wajah sebenarnya sebagaimana pemain yang pernah kami kenali sebelum ini.

“Apabila saya tiba di sini, saya melihat dia menjalani latihan, saya beritahu dia bahawa perlu lebih serius atau lebih profesional untuk bermain di saingan divisyen satu negara lain yang lebih tinggi dari liga ini.

“Cara dia menyentuh bola, bermain dan menggelecek, dia ada kemahiran yang baik, tapi tak mengapa, dia masih muda dan suka bermain di sini, jadi saya gembira dengan kebangkitannya hari ini,” kata Kuljanac mengenai pemain berusia 25 tahun itu.

Romel Morales dan rakan sepasukan, meraikan jaringan KL City FC.

Menurut pengendali yang menggalas tanggungjawab ditinggalkan Bojan Hodak itu, Morales seharusnya boleh menjaringkan lebih daripada tiga gol, malah terlalu banbyak peluang disia-siakan pasukan kendaliannya.

Namun, dia cukup gembira kerana pasukannya bangkit daripada dua keputusan seri menentang Negeri Sembilan dan Terengganu pada dua perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini.

Kuljanac mengakui Kelantan bukanlah sebuah pasukan yang kuat, namun jika KL City sekadar menang 2-1, banyak pihak akan mengkritik pasukan.

Tchetche Kipre (kiri) dimasukkan sebagai pemain gantian.

Setakat ini, Morales sudah menjaringkan 10 gol daripada 18 perlawanan liga namun prestasinya itu masih jauh terkebelakang berbanding prestasi pada musim 2022, dengan 30 gol manakala musim 2021, 33 jaringan.

Dalam pada itu, Kuljanac menolak dakwaan hubungannya dengan penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche Kipre dingin, “Bahasa Inggeris saya tidak begitu bagus dan agak kasar… aksen saya juga berbeza, kamu tahulah, lagipun mungkin itu gaya saya sebagai jurulatih.”