AWANG import Kuala Lumpur City FC, Jovan Motika menganggap gol tunggalnya ketika menentang Selangor FC tempoh hari adalah sebagai satu jaringan terbaiknya yang tidak akan dilupakan.
Ini kerana dia merasakan perlawanan ‘derby’ Lembah Klang tersebut antara yang dinantikan dan berjaya menembusi gawang skuad kendalian Nidzam Jamil itu akan menjadi detik yang cukup bermakna untuk dirinya.
Apatah lagi itu merupakan gol sulungnya di pentas Liga Super sepanjang bersama Kuala Lumpur buat kali pertama dan ini akan menjadi kebangkitan kepada pemain kelahiran Bosnia itu untuk terus membantu pasukan.
“Ya, ini merupakan gol pertama saya untuk Kuala Lumpur di saat yang tepat kita nantikan untuk pertembungan ‘derby’ Lembah Klang ini.
“Sudah tentu ia akan sentiasa menjadi gol kegemaran saya yang tidak akan saya lupa dalam karier sebab saya tahu bagaimana perlawanan itu cukup bermakna kepada kelab dan juga pemain.
“Jadi, perasaan itu cukup luar biasa sebab kita lawan pasukan besar seperti Selangor dan saya ingin teruskan momentum ini.
“Sebelum lawan Selangor tempoh hari, saya memang dah selalu dengar pasal kelab itu sebelum saya datang ke Malaysia lagi yang mana mereka mempunyai penyokong hebat.
“Jadi, saya memang dah jangka ia akan menjadi aksi getir dan syukur saya berjaya bantu kelab untuk memenangi perlawanan itu”, jelasnya ketika dihubungi.
Selepas empat perlawanan, Kuala Lumpur semakin mendaki kedudukan liga apabila kini di tangga keempat dan seterusnya bakal berdepan Sri Pahang FC di laman sendiri pada 27 Julai.