KETUA jurulatih interim Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli menjelaskan para pemainnya kini berada dalam keadaan motivasi terbaik menjelang aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Bandaraya pada Ahad.

Ini selepas skuad bimbingannya bangkit dari ketinggalan dua kali sebelum mengatasi Sri Pahang FC 3-2 dalam debut kejurulatihan Akmal selepas dinaikkan pangkat sebagai jurulatih skuad utama.

Namun begitu, pengendali itu sedar cabaran yang menanti Penang FC bukannya lawan yang mudah kerana akan berhadapan Terengganu FC yang kini dalam keadaan terbaik selepas mencatat keputusan seri menentang Central Coast Mariners dalam aksi Piala AFC.

“Persiapan pasukan berjalan lancar dengan semua pemain berada dalam motivasi terbaik dan kita akan usaha meneruskan momentum cemerlang untuk capai kemenangan dengan Terengganu.

“Namun begitu ianya bukan mudah kerana Terengganu pasukan yg baik dan dalam keadaan yang baik juga kerana baru seri dalam Piala AFC dan akan main final Piala Malaysia Jumaat depan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Akmal juga tidak menganggap pujian dan perhatian yang diperolehi penjaring gol kemenangan ketika bertemu Sri Pahang, Izzat Zikri akan mengganggu tumpuan pemain muda itu sebaliknya dia melihat ianya sebagai pembakar semangat buatnya untuk beraksi lebih baik.

“Segala perhatian yang diberikan pada Izzat saya rasa tak mengganggu malah dia semakin bersemangat dan berkeyakinan untuk buat lebih baik esok,” jelasnya lagi.

Kemenangan sudah pasti ditagih para penyokong Harimau Kumbang kerana tiga mata akan meletakkan Penang kekal di tangga 10 dengan berbaki satu perlawanan bertemu juara liga, Johor Darul Ta’zim di Iskandar Puteri.