SPEKULASI tentang siapakah yang bakal berlumba untuk tiket ‘wildcard’ pada Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) terjawab apabila Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengumumkan Sharifuddin Azman atau lebih dikenali Damok sebagai pelumba negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif perkara ini tidak boleh didedahkan lebih awal kerana terikat dengan peraturan badan pengelola, Dorna.
Damok ketika ditemui ketika sidang media selepas majlis pelancaran MotoGP Malaysia 2022 di Kuala Lumpur nyata gembira dengan pemilihan ini dan akan membuktikan kemampuannya di hadapan penyokong sendiri.
Sah Damok wildcard rider Moto3 🔥 #MalaysianGP2022 #PETRONASGP2022 pic.twitter.com/TkCLZqw7gi
— Sepang Circuit (@sepangcircuit) August 16, 2022
“Saya sangat teruja dengan peluang ini. Saya pernah mendapat tiket wild card sebanyak empat kali sebelum ini namun gagal memberikan saingan untuk berada di kelompok hadapan.
“Ramai peminat yang kecewa dan saya sendiri kecewa tetapi kali ini saya yakin dan akan buktikan kemampuan saya dalam perlumbaan di tempat saya sendiri,” katanya dengan bersemangat.
Selain itu untuk mendapat tiket Wildcard ini, Damok mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipatuhi termasuk perlu sentiasa kompetitif dalam perlumbaan yang disertai dan kini dia di tempat kedua Kejuaraan JuniorGP 2022 dengan 97 mata bersama pasukan SIC Racing.
Damok akan melakukan penampilan kelima dalam Moto3 selepas GP Aragon, Catalunya, Portugal dan Sepanyol musim lalu dan akan beraksi bersama pasukan VisionTrack Racing Team.