JUARA dunia Francesco Bagnaia menyasarkan kemenangan ke-20 MotoGPnya pada Grand Prix Portugal hujung minggu ini, dua minggu selepas pasukan Ducatinya mendominasi pembukaan musim di Qatar.
Bagnaia telahpun menang di litar Algarve pada 2021 dan 2023 dan akan menjadi pilihan utama sekali lagi untuk perlumbaan Ahad ini.
“Ia adalah litar yang saya sangat suka dan di mana kami sentiasa pantas pada masa lalu,” katanya.
“Musim lalu saya memenangi perlumbaan sprint dan Grand Prix dan kami berpotensi untuk lakukan yang terbaik tahun ini sekali lagi. Ia tidak mudah, saya menjangkakan saingan yang kuat kerana ramai pelumba boleh bertarung untuk kemenangan di sini.”
Di Qatar, Ducati meletakkan enam daripada lapan jentera motosikal mereka dalam tujuh teratas, dengan hanya Brad Binder dari Afrika Selatan yang menaiki KTM berjaya memecahkan cengkaman di tempat kedua.
Naib juara kejuaraan tahun lalu, Jorge Martin, dari pasukan Ducati-Pramac, berada di tempat ketiga di Qatar di mana dia memenangi perlumbaaan sprint pada Sabtu dan menduduki petak pertama.
Walau bagaimanapun, dia telah ditimpa nasib malang di trek Portimao pada masa lalu, mengalami kemalangan sebanyak dua kali dan hanya setakat ini menamatkan perlumbaan di Portugal di tempat ketujuh.
“Kepantasan adalah baik di Qatar jadi kami yakin,” kata pelumba Sepanyol itu.
“Saya hanya berharap untuk mempunyai sensasi yang lebih baik pada motorsikal tetapi saya yakin bahawa kami akan mencari jalan untuk mencapainya.”
Rakan senegara dan juara dunia MotoGP enam kali Marc Marquez akan berlumba hanya hujung minggu kedua di atas Ducati-Gresini selepas menghabiskan keseluruhan kerjaya kelas perdananya bersama Honda.
Marquez berada di tempat keempat di Qatar pada penampilan sulungnya untuk pasukan baharunya dan sedang mengejar podium pertama bersama pengeluar Itali itu.
“Kita akan lihat di mana kedudukan kita. Saya masih ada kerja yang perlu dilakukan kerana saya perlu memahami cara menggunakan potensi penuh motosikal itu,” kata Marquez.
Dia akan berkongsi tumpuan hujung minggu ini dengan rookie dan rakan sepasukan Pedro Acosta, yang menampilkan aksi yang mengagumkan di Qatar pada penampilan sulungnya di MotoGP.
Di tempat kelapan di grid, Acosta melakukan beberapa siri pemotongan yang berani sebelum tergelincir kembali ke tempat kesembilan.
“Portimao adalah salah satu litar kegemaran saya jadi saya pasti ia akan menjadi hujung minggu yang baik tetapi saya perlu terus belajar,” kata pemain harapan Sepanyol itu pada Khamis.