PELUMBA Yamaha Racing Team, Fabio Quartararo mendominasi perlumbaan MotoGP Grand Prix Jerman untuk melebarkan penguasaan dalam kategori pendahulu selepas pesaing terdekat terkeluar dari perlumbaan di Litar Sachsenring.
Memulakan perlumbaan dengan mendahului 22 mata selepas memenangi Grand Prix Catalunya, Quartararo kini 34 mata dihadapan Aleix Espargaro selepas kemenangan ketiga berturut-turutnya.
Tugasnya menjadi lebih mudah apabila pelumba Ducati, Francesco Bagnaia tersingkir dari perlumbaan dan Enea Bastianini sekadar di tempat kesepuluh manakala Aleix Espargaro hanya di tempat keempat.
Johann Zarco menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala pelumba Australia, Jack Miller melengkapkan podium untuk perlumbaan kesepuluh musim ini.
Kemenangan itu meletakkan Quartararo kini dengan 172 mata mengatasi Aleix Espargaro di tempat kedua dengan 138 mata manakala Johann Zarco ketiga dengan 111 mata dan Enea Bastianini keempat dengan 100 mata dalam kategori pelumba.
Sementara itu dalam perlumbaan Moto2, Augusto Fernandez muncul juara dengan rakan sepasukan Pedro Acosta kedua dan Sam Lowes ketiga dalam perlumbaan yang cukup sengit sehingga selekoh terakhir.
Dalam perlumbaan Moto3 pula, pemegang petak utama dan pemenang Grand Prix Catalunya, Izan Guevara muncul pemenang untuk kemenangan ketiganya musim ini.