PENGANJURAN Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas 2024 semakin mendapat sambutan apabila sudah lebih 50 peratus tiket berjaya dijual dan pelbagai aktiviti untuk menarik lebih ramai pengunjung sudah dirancang pihak Litar Antarabangsa Sepang Petronas (SIC).
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif menjelaskan bahawa pihaknya meletakkan sasaran untuk mengatasi jumlah kehadiran pengunjung pada tahun 2023 ketika sidang media sempena perlumbaan berprestij itu di Kuala Lumpur.
Antara tarikan terbaharu yang dilakukan adalah Konsert After Race Fest dengan menampilkan enam artis popular termasuk empat artis antarabangsa seperti Macklemore, Smash Mouth, Nidji dan Feel Koplo serta dua artis tempatan iaitu Sixth Sense dan DeFam.
Selain itu pelbagai acara seperti Karnival Mega MotoGP, peluang berjumpa dengan para pelumba dan ‘pit lane walk’ yang dijangka dapat menambah pengalaman menonton oleh para pengunjung yang hadir untuk menyaksikan perlumbaan.
Shafriman turut mengakui perebutan kejuaraan yang sengit terutama dalam kelas MotoGP membantu jualan tiket kerana peluang untuk menobatkan juara ketiga-tiga kategori berkemungkinan berlaku di Sepang.
“Jadual kita sangat unik kerana menjadi perlumbaan kedua terakhir musim dan peluang kita untuk melihat juara setiap kategori sentiasa ada seperti mana tahun lalu juara Moto2 dinobatkan di Sepang.
“Saingan sengit kejuaraan pelumba terutama di MotoGP akan sekali lagi membantu jualan tiket dan kita mensasarkan 200,000 pengunjung hadir pada ketiga-tiga hari itu untuk mengatasi jumlah hampir 180,000 pengunjung musim lalu,” katanya.
Perlumbaan kali ini juga mengekalkan jualan tiket rahmah berharga RM49.90 yang terbuka untuk rakyat Malaysia sahaja dalam usaha menarik lebih ramai peminat sukan permotoran untuk hadir menyaksikan perlumbaan secara langsung di litar.
Perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas akan berlangsung dari 1 hingga 3 November dianggap menarik kerana melibatkan ulang tahun ke-25 SIC, ke-50 Petronas dan ke-70 saingan kejuaraan MotoGP dunia.