PERLUMBAAN MotoGP Grand Prix Malaysia 2024 di Litar Antarabangsa Sepang Petronas yang bermula hari ini tertumpu kepada pertarungan sengit antara Jorge Martin dan Francesco Bagnaia dalam merebut kejuaraan kelas MotoGP musim ini.

Grand Prix Malaysia – pusingan kedua terakhir dalam kalendar MotoGP 2024 bakal menyaksikan dua pelumba hebat ini bertarung dengan Bagnaia mahu mengekalkan kejuaraan manakala Martin cuba bergelar juara keseluruhan kali pertama.

Ketika dua lagi kelas – Moto3 dan Moto2 sudahpun mengesahkan kejuaraan, perbezaan 17 mata antara Martin dan Bagnaia akan ditentukan menerusi perlumbaan Sprint pada Sabtu dan perlumbaan utama pada Ahad.

Martin dari Sepanyol jelas yakin dengan kemampuan diri dan jenteranya di Sepang dalam usaha mencari kelebihan 38 mata untuk bergelar juara dunia namun Bagnaia yang juga juara bertahan sudah tentu tidak akan memberikan laluan mudah dan ini akan menjadi satu aksi menarik buat penonton yang hadir ke Sepang.

Jika Martin berjaya memenangi kedua-dua perlawanan Sprint dan Grand Prix, dia akan mendapat maksimum 37 mata sekaligus menjadikan 490 mata keseluruhan dan bergelar juara dunia sekiranya Bagnaia sekadar menamatkan perlumbaan di tangga kelima dan kebawah dalam dua-dua perlumbaan.

Sekiranya Martin sekadar di tempat kedua untuk kedua-dua perlumbaan, dia perlu mengharapkan Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan dan kebawah.

Jika pelumba Sepanyol itu menamatkan saingan di tangga ketiga, dia perlu memastikan Bagnaia tidak mendapat mata dalam perlumbaan Sprint dan tempat ke-14 dan ke bawah dalam perlumbaan Grand Prix pada Ahad.

Grand Prix MotoGP Malaysia akan berlangsung dari 1 hingga 3 November 200,000 pengunjung dijangka memeriahkan perlumbaan ini yang turut menampilkan konsert selepas perlumbaan.