PELUMBA Yamaha, Fabio Quartararo memuji Litar Antarabangsa Sepang dan percaya dia akan mendapat keputusan yang baik pada MotoGP Malaysia 2022, Ahad ini.
Perlumbaan MotoGP Malaysia 2022 bakal menjadi peluang pertama Francesco Bagnaia untuk mengunci gelaran dunia musim ini.
Namun begitu, MotoGP Malaysia juga boleh membuatkan Quartararo menghela nafas bagi merebut peluang juara dunia 2022 daripada Bagnaia.
Kelebihan 14 mata Bagnaia ke atas Fabio Quartararo selepas MotoGP Australia 2022, hujung minggu lalu, menjadikan Bagnaia berpeluang bergelar juara dunia di Malaysia, hujung minggu ini.
Tetapi walaupun Quartararo kini berada di tempat kedua, dia percaya dua perlumbaan terakhir akan berubah.
“Saya rasa Malaysia adalah trek yang bagus dan saya sukakannya, jadi kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan. Jika (kejuaraan) boleh berubah untuknya (Bagnaia) sejak Sachsenring maka ia juga boleh berubah untuk kami dalam dua siri terakhir.
“Saya rasa kami boleh mencapai dua perlumbaan hebat terakhir, kami perlu fokus dan bekerja dengan baik tetapi kami juga boleh berjaya bersama-sama ,” ujar Quartararo dipetik dari Motorsport Week.