PELUMBA cilik, Qabil Irfan Azlan, berjanji memberi aksi terbaik pada pusingan akhir MotoGP Mini Dunia di Valencia, 1 hingga 3 November ini.
Bercakap kepada FLASH SUKAN, Qabil Irfan berkata, kehadiran pelumba Eropah tidak menggerunkannya meskipun turun selaku pelumba paling muda pada usia 10 tahun.
“Pencabar lain lebih berpengalaman manakala ini pula perlumbaan pertama saya di luar negara. Namun faktor usia tidak mematahkan semangat saya.
“Saya pernah berlumba dengan pelumba Asia Tenggara. Jadi saya akan cuba beri menyaingi pelumba Eropah pula biarpun faktor cuaca mungkin memihak mereka.
“Malah tiada rasa gementar kerana saya sentiasa dilatih oleh bapa untuk bersedia menghadapi sebarang perlumbaan,” jelasnya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.
Sementara itu bapanya, Azlan Abdul Rahman, 46, enggan meletakkan sasaran menggunung dengan menjadikan MotoGP Mini Dunia sebagi pentas terbaik Qabil Irfan mengutip pengalaman berharga.
Menurut bekas pelumba Cub Prix 1998 itu, kejayaan mara ke pusingan akhir di Valencia sudah dikira satu pencapaian besar buat anak kedua daripada empat beradik itu.
“Saya cuma harap rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan serta kejayaan Qabil Irfan dan seorang lagi wakil negara, Adi Putra Anahar, 13,” jelasnya.
Qabil Irfan dan Adi Putra akan berentap dengan 28 pelumba terbaik daripada 14 negara seperti Australia, Perancis, Itali, Jepun, Portugal, Sepanyol dan Britain.
Dua pelumba itu mewakili negara setelah muncul juara dan naib juara MotoGP Mini Malaysia dengan mengumpul 236 mata dan 183 mata daripada 10 perlumbaan.