PENGARAH Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer tidak percaya bahawa bateri sudah bersedia untuk digunakan pada motosikal yang berkuasa lebih 125cc dan akan menentang sebarang idea untuk memperkenalkan enjin hibrid kepada MotoGP.

Ketika industri kerera dilihat sudah mula menggunakan elektrik sebagai pengganti bahan api, berat dan julat teknologi bateri yang ada pada masa kini menyebabkan KTM melihat kesesuaiannya hanya untuk skuter dan motosikal yang bersaiz kecil.

KTM telah merasai pengalaman motosikal elektrik menerusi motosikal ‘off road’ mereka, Freeride tetapi kekangan julat dalam teknologi bateri menyaksikan ianya hanya sekadar sesuatu yang baharu dan bukan pencabar kepada kuasa enjin.

Pengarah Sukan Permotoran KTM, Pit Beirer

“Kami tidak melihat teknologi ini sudah bersedia setakat ini untuk menukarkan pengeluaran motosikal tradisi kepada sesuatu yang menggunakan kuasa bateri. Ianya hanya masuk akal untuk digunakan pada skuter atau motosikal bandar yang kurang dari 100cc.

“Selain daripada itu terutama untuk motosikal saiz penuh dari 125cc ke atas, kita masih melihat kuasa bahan api adalah yang paling sesuai untuk digunakan buat masa kini,” katanya.

Kejuaraan Dunia MotoGP masih menunjukkan ketidaktentuan dalam industri motosikal dengan mengadakan Piala Dunia MotoE yang menggunakan elektrik tetapi pada masa yang sama dalam transisi untuk menggunakan 100 peratus bahan api ‘non-fossil’ menjelang 2027 dari 40 peratus pada 2024.

Perlumbaan MotoE

Walaupun Ducati telah menjadi pembekal eksklusif untuk MotoE musim ini dengan harapan untuk membangunkan motosikal elektrik untuk masa depan, Beirer melihat kehadiran motosikal berkuasa bateri setakat ini hanyalah sekadar untuk mengisi ruang.

Kejuaraan Dunia MotoE 2023 akan berlangsung sebanyak 16 pusingan di lapan litar di Eropah melibatkan sembilan pasukan dan 18 pelumba yang akan merebut gelaran juara buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 2019.