HUJAN semalaman menyaksikan aktiviti yang perlahan pada hari ketiga dan terakhir Ujian Rasmi MotoGP Winter Testing di Litar Antarabangsa Sepang dengan tiga pelumba mencatatkan masa peribadi terbaik pada sesi pagi.
Jorge Martin dari pasukan Prima Pramac Racing masih menjadi pelumba yang perlu ditewaskan dengan catatan masa 1 minit 58.204 saat dengan Aleix Espargaro dari Aprilia Racing dan Marco Bezzecchi wakil pasukan Mooney VR46 Racing Team hanya ketinggalan sedikit dibelakang pelumba Sepanyol itu.
Juara dunia enam kali yang mewakili pasukan Repsol Honda Team, Marc Marquez juga berjaya memperbaiki masa sepusingan terpantas untuk berada di tangga keenam hampir setengah saat di belakang Martin yang mengalami sedikit kecederaan di pergelangan tangannya.
Selain jentera Ducati dan Honda, dua pelumba Aprilia Racing juga mempamerkan tunggangan mantap dengan Maverick Vinales ditempat keempat dengan kedua-dua pelumba menggunakan jentera dan pakej aero untuk musim 2023.
Aprilia dilihat menunjukkan permulaan yang meyakinkan dengan pakej baharu ini apabila pasukan RNF MotoGP Team juga berjaya menduduki 10 tempat teratas dengan Raul Fernandez dan Miguel Oliveira kelihatan selesa dengan jentera mereka di Sepang.
Beberapa kemalangan juga turut dilaporkan dengan Jack Miller dari pasukan Red Bull KTM Factory Racing dan Alex Rins yang menunggang LCR Honda Castrol masing-masing terjatuh di selekoh pertama dan ke-15 namun kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sesi petang dijangka bakal sibuk dengan tinggal kurang empat jam untuk setiap pasukan mendapatkan ‘set up’ yang diinginkan sebelum sesi ujian ini berakhir dan akan bersambung di Litar Portimao, Portugal dalam masa sebulan dari sekarang.
10 pelumba terpantas sesi ujian sebelah pagi (setakat jam 2 petang):
1. Jorge Martin (Prima Pramac Racing) – 1 minit 58.204 saat
2. Aleix Espargaro (Aprilia Racing) + 0.103 saat
3. Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Racing Team) + 0.159 saar
4. Maverick Viñales (Aprilia Racing) + 0.396 saat
5. Luca Marini (Mooney VR46 Racing Team) + 0.438 saat
6. Marc Marquez (Repsol Honda Team) + 0.462 saat
7. Raul Fernandez (RNF MotoGP™ Team) + 0.506 saat
8. Enea Bastianini (Ducati Lenovo Team) + 0.528 saat
9. Pol Espargaro (GASGAS Factory Racing Tech3) + 0.593 saat
10. Miguel Oliveira (RNF MotoGP™ Team) + 0.635 saat