“NIKMATI permainan dan jangan ‘nervous’, jadikan malam final adalah malam kita.”
Itu pesanan daripada jurulatih Pasukan Pahang Rangers FC, Gerard Casas kepada anak buahnya menjelang aksi final Liga Premier Futsal Malaysia 2023 (MPFL2023) menentang Johor Darul Ta’zim di Stadium SUKPA, Kuantan pada Sabtu.
Ujar Gerard, berjaya melangkah ke final pastinya membuatkan skuad futsal Tok Gajah itu merasa terlebih teruja namun dia akan memastikan perasaan itu dapat dikawal dan bermain seperti perlawanan-perlawanan lain sepanjang musim ini.
Ketika ditanya mengenai pembaharuan yang dilakukan bagi berdepan skuad Harimau Selatan, jurulatih berasal dari Sepayol itu hanya mengingatkan pemain untuk jadi diri sendiri dan hormat kepada pasukan lawan.
“Idea kami hanyalah menjadi diri sendiri dan akan menghormati pasukan lawan kerana mereka mempunyai pemain yang bagus dan berbakat.
“Tetapi kami akan bermain dengan corak permainan yang berbeza, cuba beraksi dengan lebih baik, menguasai permainan dan menang,” katanya.
Dalam pada itu, Gerard juga meluahkan rasa penghargaan kepada semua penyokong Pahag Rangers yang sentiasa bersama sekaligus menjadikan skuad itu lebih kuat.
“Saya rasa kami mempunyai penyokong yang terbaik dalam arena futsal di Malaysia. Semoga kita semua bersama dapat memenangi perlawanan ini,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Pahang Rangers FC melangkah ke final dengan kelebihan agregat 7-6 selepas seri dengan Selangor MAC 3-3 dalam aksi separuh akhir kedua dan bakal menentang JDT dalam aksi final yang pertama.