PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas Ullastre tidak mempunyai ungkapan yang lebih manis untuk menggambarkan perasaannya ketika berjaya membawa Pahang Rangers menjulang Kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) setelah membenam Johor Darul Ta’zim (JDT) 9-6 menerusi agregat biarpun tewas di tangan JDT dalam aksi timbal balik semalam.
Jelasnya, isterinya merupakan pendorong di sebalik kejayaan luar biasa yang dikecapi apabila dia terpaksa berjauhan dengan isterinya selama sembilan bulan demi tugas melatih Pahang Rangers.
Keperitan tersebut dikatakan menjadi pembakar semangat buatnya membawa pasukan tersebut menjulang Kejuaraan Liga MPFL 2023.
“Perkara yang bermain di kepala saya adalah terima kasih kepada isteri saya. Dia telah berjauhan dengan saya untuk sembilan bulan kerana saya telah berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman pada mulanya.
“Saya terpaksa meninggalkan isteri saya kerana bertugas di sini. Ia sangat sukar secara peribadi untuk saya sebagai seorang manusia dan suami,” katanya ketika ditemui media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor.
Ketika ditanya mengenai sumbangan penyerang berbisa mereka, Sergio Jamur, agak mengejutkan apabila dia secara terbuka mengatakan pemain tersebut akan ditukar pada pertengahan musim disebabkan sebab yang tidak mahu diceritakan.
Bagaimanapun, kredibiliti yang ada pada Jamur diakui sangat berkualiti dan hebat sebagai seorang pemain.
Namun, kemenangan yang dijulang adalah hasil usaha seluruh pemain yang bertungkus-lumus dalam sesi latihan sebelum mereka turun ke gelanggang sebenar.
“Saya rasa kita perlu menukar Sergio Jamur pada tengah musim. Kesemua kelab di sini mengatakan saya gila kerana ingin menukar Jamur kepada pemain lain.
“Tiada yang faham mengapa saya pilih untuk menukarnya tetapi saya mempunyai sebab tersendiri.
“Dia adalah seorang pemain yang sangat baik. Kita sangat bertuah kerana dia berada di Malaysia. Tetapi ia bukanlah disebabkan seorang pemain sahaja tetapi keseluruhan pemain membantu,” jelasnya.
Sementara itu, Casas sempat menzahirkan kerinduannya kepada penyokong Pahang Rangers atas usaha mereka hadir memberi sorakan kepada pemain Tok Gajah tanpa belah bahagi.
Tambahnya, sekiranya dia sudah tidak bersama Pahang satu hari nanti, penyokong tetap berada di hatinya dan merekalah juara sebenar.
“Saya akan merindui mereka sepanjang hidup saya. Jika saya meninggalkan Pahang sekalipun, saya akan merindui mereka kerana merekalah penyokong sebenar. Bagi saya, merekalah juara sebenar,” ujarnya.