SKUAD futsal Pahang Rangers semakin bersemangat untuk menghadapi perlawanan suku akhir pertama Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) meskipun sedar Shah Alam City bukanlah lawan yang mudah.
Pengendalinya, Gerrard Casas mahu anak-anak buahnya menampilkan aksi yang terbaik untuk mendapat kelebihan di tempat sendiri sebelum beraksi di laman lawan untuk suku akhir kedua.
“Kami sangat teruja dan bermotivasi untuk memulakan aksi suku akhir Sabtu ini kerana ianya akan menjadi perlawanan yang menarik dengan lawan yang cukup sukar.
Ini sekaligus menuntut para pemain untuk memberikan aksi yang terbaik supaya kami mendapat keputusan yang positif sebelum kami ke Shah Alam untuk aksi suku akhir kedua minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Gerrard juga mahu para penyokong Pahang Rangers membanjiri Stadium Tertutup Sukpa kerana pasukan memerlukan sokongan padu seperti mana yang sering mereka lakukan ketika peringkat kumpulan.
“Saya berharap para penyokong boleh memenuhkan Stadium Sukpa kerana ianya penting buat kami dan seperti kebiasaan, kami lebih kuat apabila bersama-sama,” serunya kepada semua penyokong.
Pahang Rangers layak ke peringkat suku akhir sebagai juara Kumpulan A dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi cabaran Shah Alam City yang layak sebagai pasukan tempat keempat Kumpulan B.