PENGENDALI Pahang Rangers, Gerard Casas menolak dakwaan yang mengatakan pasukannya diundi dalam kumpulan yang lebih mudah berbanding satu lagi kumpulan untuk Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023.

Pahang Rangers diletakkan dalam Kumpulan A bersama-sama Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, ATM, KPT-PST Mustang dan Sabah manakala Kumpulan B disertai tujuh lagi pasukan yang majoritinya berpangkalan di Shah Alam.

Casas juga tidak menjelaskan ianya adalah satu perkara yang kurang baik sekiranya benar Kumpulan A dilihat sebagai lemah kerana Pahang Rangers memerlukan lawan yang sukar pada setiap minggu untuk menjadi lebih baik.

“Jika benar kami dalam kumpulan mudah ianya tidak baik untuk kami kerana kami perlukan pasukan kuat sebagai lawan. Saya gembira jika dapat bertemu JDT setiap minggu kerana ianya dapat membantu pasukan kami menjadi lebih baik,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.

Dalam pada itu, Casas mengakui gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan para pemainnya kerana selepas kehilangan sembilan tonggak, mereka membina semula pasukan dengan rata-rata pemain muda.

“Kami bermain kurang baik berbanding perlawanan pertama. Kami melakukan banyak kesilapan tetapi gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan para pemain. Secara keseluruhan saya gembira dengan skuad ini yang dibarisi ramai pemain muda,” tambahnya.

 

Selepas dua perlawanan awal MPFL 2023, Pahang Rangers kini unggul di tangga teratas Kumpulan A dengan enam mata hasil dua kemenangan berkongsi enam mata dengan Pulau Pinang tetapi dibezakan perbezaan jaringan.

Pahang Rangers akan bertemu Kedah di Stadium Sukpa, Kuantan pada Ahad dan berharap mendapat keputusan yang positif bagi mengekalkan momentum kemenangan kepada tiga perlawanan berturut-turut.