PERSAINGAN suku akhir kedua Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 menyaksikan pasukan Selangor TOT United berjaya mara ke separuh akhir setelah menewaskan pasukan Pulau Pinang 2-1 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu.

Pada aksi awal permainan, penonton disajikan dengan cubaan serangan daripada pasukan Pulau Pinang ke gawang tuan rumah namun tiada sebarang gol yang berjaya dihasilkan.

Selangor TOT United dilihat tidak mensia-siakan peluang yang ada apabila Iqhmal Najmie berjaya mendapatkan mata pertama untuk pasukannya pada minit ke-lima. 

Permainan kelihatan sengit pada separuh masa pertama berikutan kedua-kedua pasukan saling merebut mata sekaligus mendapatkan tiket untuk ke peringkat separuh akhir.

Pulau Pinang FA gagal memanfaatkan peluang  gol apabila cubaan penalti daripada Muhammad Razin  tidak berjaya menembusi ke gawang gol.

Kedudukan kekal 1-0 sehingga habis separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua, usaha skuad di bawah kendalian Hasrinizam Hashim wajar dipuji berikutan melakukan banyak cubaan gol dan mengucar-gacirkan benteng pertahanan lawan.

Akhirnya, cubaan demi cubaan membuahkan hasil jaringan gol daripada Sirhan Aiman menjadikan kedudukan 2-1.

Selangor TOT United kekal berada di hadapan 2-1 sehingga wisel tamat dibunyikan sekaligus menang dengan agregat 4-2 dan mara ke separuh akhir MPFL.