TIGA pasukan pilihan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023 menepati ramalan apabila masing-masing membawa bekal selesa ke laman sendiri untuk aksi suku akhir kedua yang bakal berlangsung pada 15 Julai 2023.
Pahang Rangers, Selangor MAC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah tiga pasukan yang masing-masing dilihat tidak mempunyai masalah untuk layak ke separuh akhir manakala satu lagi tempat menjadi rebutan antara Pulau Pinang dan Selangor TOT.
Pahang Rangers membenam Shah Alam City 6-1 di Kuantan dan akan beraksi di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam dengan kelebihan lima gol sekaligus dijangka tidak berdepan masalah untuk mengekalkan kelebihan itu di suku akhir kedua nanti.
Juara bertahan, Selangor MAC membawa kelebihan tiga gol ke Shah Alam Selepas mengatasi Terengganu 4-1 dan dijangka akan meneruskan penguasaan apabila bermain di hadapan penyokong sendiri.
Pendatang baharu MPFL, Johor Darul Ta’zim pula sudah boleh menempah tempat ke separuh akhir selepas membelasah Sabah 12-0 pada aksi suku akhir pertama dan kini hanya menanti pemenang antara Selangor TOT dan Pulau Pinang.
Aksi Selangor TOT dan Pulau Pinang adalah perlawanan yang paling mencuri tumpuan kerana kedua-dua pasukan masih berpeluang layak ke separuh akhir selepas suku akhir pertama berpihak kepada TOT dengan keputusan 2-1.
Siapakah bakal layak ke semi final bakal diketahui Sabtu ini dan para peminat sukan futsal pastinya akan disajikan empat perlawanan berkualiti tinggi dari lapan pasukan yang bertanding bagi merebut gelaran juara Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2023.