PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 akan dijalankan dalam dua divisyen – Divisyen 1 dan Divisyen 2 dengan Divisyen 2 akan bermula pada Mei 2024.

Sepak mula Divisyen 1 telah bermula pada Sabtu yang disertai oleh lapan pasukan dengan juara bertahan MPFL, Pahang Rangers FC dicabar Johor Darul Ta’zim (JDT), KL City FC, Selangor FC, Shah Alam City, Gombak TOT United, Sabah dan Terengganu.

Saingan Divisyen 2 pula akan bermula pada Mei dengan tujuh pasukan seperti disahkan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Datuk Seri Rosmadi Ismail.

Datuk Seri Rosmadi Ismail ketika melancarkan saingan MPFL 2024 Divisyen 1

“Secara tentatifnya, kita akan bermula pada bulan lima nanti dan kita sudah dapat pengesahan daripada tujuh pasukan, dan kita harap dapat laksanakan dengan baik,” katanya ketika ditemui media.

Namun begitu, dia tidak mendedahkan sebarang nama pasukan yang mengesahkan penyertaan dalam saingan itu buat masa ini yang bakal dilangsungkan secara karnival di sebuah venue yang akan ditentukan kelak.

Dalam minggu pertama MPFL 2024 Divisyen 1, Pahang Rangers nyaris dikejutkan Shah Alam City apabila diikat 6-6 manakala JDT dan Terengganu masing-masing mencatatkan kemenangan 6-1 sekaligus melaungkan amaran awal buat pencabar.