PENAMPILAN pertama yang cukup cemerlang dari import terbaharu skuad JDT Futsal, Bruno Taffy memastikan Harimau Selatan mudah membenam cabaran Terengganu 7-1 dalam aksi minggu kelapan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 di Kuala Terengganu.
Taffy, bekas pemain kebangsaan Brazil yang menyertai JDT pada jendela perpindahan kedua itu mempamerkan aksi menakjubkan sekaligus membantu rakan-rakan sepasukannya untuk mudah menjaringkan gol sekaligus mendahului liga dengan lapan mata.
Pemain berusia 31 tahun itu juga tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringannya apabila meledak gol ketiga JDT pada babak kedua selain membantu Awalludin Mat Nawi menjaringkan hatrik untuk kemenangan selesa.
Tiga lagi gol JDT dijaringkan Firdaus Ambiah, Danial Dain dan Azwann Ismail pada babak pertama manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Alif Mat Amin pada penghujung babak pertama.
Kehadiran Taffy dalam skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia jelas menambah sengat terutama di barisan serangan dan sudah pasti akan menjadi perhatian pertahanan lawan serta penyokong JDT.
Kemenangan itu meletakkan JDT semakin selesa di takhta MPFL dengan 24 mata, lapan mata mengatasi dua pencabar terdekat, Pahang Rangers dan Shah Alam City yang masing-masing berkongsi 16 mata selepas selesai lapan perlawanan.
Harimau Selatan juga masih kekal tanpa kalah yang dilihat semakin menghampiri kejuaraan pertama MPFL dengan liga berbaki enam perlawanan dan Shah Alam City akan menjadi lawan seterusnya di Pasir Gudang pada 7 Julai.