KETUA jurulatih skuad futsal Selangor FC, Edgar Baldasso menganggap banyak aksi di Kompleks Sukan Negara (KSN) Panasonic, Shah Alam bakal memberikan kelebihan tambahan buat pasukannya dalam menghadapi musim Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024.
Daripada lapan pasukan yang bertanding dalam MPFL musim ini, empat pasukan – Selangor FC, Shah Alam City, Gombak TOT United dan Sabah menjadikan KSN Panasonic sebagai gelanggang tuan rumah sekaligus dilihat memberikan sedikit kelebihan buat pasukan Selangor yang turut berlatih di gelanggang itu.
Namun begitu Edgar tidak mahu terlalu yakin kerana masih banyak perkara yang diluar kawalan boleh berlaku sepanjang 40 minit permainan dan dia hanya mahu pemainnya fokus dalam memberikan aksi terbaik.
“Pada saya ianya penting kerana Panasonic adalah rumah kami dan saya lebih selesa untuk bermain di tempat kami berlatih tetapi segalanya berbeza apabila tiba hari perlawanan.
“Banyak benda boleh berubah dalam 40 minit dan apa yang penting adalah kekuatan mental kami dalam setiap perlawanan. Bermain di Panasonic ianya baik tetapi masih banyak elemen lain yang perlu dilihat,” katanya dalam sidang media semasa sesi memperkenalkan pemain dan jersi skuad futsal Selangor FC di Shah Alam.
Pengendali asal Portugal itu juga tidak mahu pasukannya dilabel sebagai pasukan pilihan meskipun dipilih sebagai pencabar utama oleh dua jurulatih pasukan lawan dan hanya fokus kepada setiap perlawanan.
“Sukar untuk menjawab mengenai kami sebagai pasukan pilihan kerana jelas kami sememangnya mempunyai potensi tetapi ada tujuh lagi pasukan lain yang juga hebat dan diperkuatkan dengan bintang tempatan dan antarabangsa.
“Tumpuan kami buat masa ini adalah aksi pembukaan menentang Sabah pada Ahad dan kami mengambil pendekatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan tetapi ianya bagus untuk memenangi perlawanan awal,” jelasnya.
Selangor menerusi pengurus pasukan, Mimi Afzan Afza Abdul Karim meletakkan sasaran untuk muncul juara MPFL 2024 selepas kali terakhir melakukannya pada 2022 namun sedar cabaran yang bakal diberikan tujuh lagi pasukan.
Edgar dan pasukannya akan turun menentang Sabah pada Ahad sebelum bertemu Pahang Rangers di Kuantan pada 25 Februari dan KL City pada 2 Mac untuk tiga perlawanan awal MPFL.