KETUA jurulatih skuad futsal Sabah, Pat Sriwijit mengambil tanggungjawab atas kekalahan pasukannya kepada Gombak TOT United sekali gus gagal mengekalkan momentum kemenangan dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024.

Meskipun ketinggalan 2-4 pada pertengahan babak kedua, Sriwijit menggunakan taktikal ‘power play’ hingga menyaksikan Sabah berjaya mengikat kedudukan kepada 5-5 dengan permainan berbaki dua minit namun kesilapan pada hujung perlawanan dimanfaatkan lawan untuk gol kemenangan.

Pengendali asal Thailand itu juga turut mengakui empat pemain utamanya yang dilanda demam menjejaskan sedikit rentak permainan Sabah yang tidak mampu bermain pada tahap intensiti tinggi.

Pengendali Futsal Sabah, Pat Sriwijit

“Kami mahu bangkit segera selepas ketinggalan 1-4 sebab itu kami gunakan taktikal ‘power play’ hingga berjaya mengikat kedudukan 5-5 tetapi kami melakukan kesilapan dan menanggung padahnya.

“Sejujurnya kami bermain dengan intensiti yang agak rendah dalam permainan ini berbanding sebelumnya kerana empat pemain utama kami mengalami demam dan ini adalah perkara yang kami perlu perbaiki untuk perlawanan akan datang,” katanya kepada FLASH SUKAN selepas permainan.

Sriwijit juga meminta maaf kepada para penyokong Sabah yang hadir kerana padanya meskipun mereka bermain di Lembah Klang tetapi kehangatan penyokong masih dapat sama seperti bermain di Sabah.

Para pemain meraikan jaringan Futsal Sabah

“Saya ingin meminta maaf kepada para penyokong yang hadir kerana kami tidak bermain dengan baik tetapi kami akan atasi masalah ini pada perlawanan akan datang,” jelasnya.

Sabah kini akan kembali menjalani latihan sebagai persiapan untuk menghadapi perlawanan ketiga MPFL 2024 menentang juara bertahan, Pahang Rangers pada 2 Mac 2024 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.