SKUAD Gombak TOT United melebarkan rekod kemenangan dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 selepas menewaskan Terengganu 4-2 sekaligus mengukuhkan kedudukan dalam liga selepas berakhir tiga perlawanan.

Gol-gol Gombak TOT United dijaringkan menerusi dua gol dari Guntur Sulistyo – gol ketujuhnya dalam liga manakala satu gol dari Nursyafiq Madselan serta satu jaringan sendiri pemain Terengganu.

Pengendali TOT, Qusmaini Noor Rusli berkata dia berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya meskipun berdepan kesukaran bermain dalam keadaan panas dan bangga dengan semangat juang yang dipamerkan.

Pengendali Gombak TOT United, Qusmaini Noor Rusli

“Gembira dengan kemenangan kedua ini dan kami perlu mengekalkan momentum ini pada perlawanan akan datang walaupun sedar sukar bermain pada jam 2 petang dan saingan yang dihadirkan oleh pasukan Terengganu.

“Kehadiran Guntur Sulistyo dalam pasukan banyak membantu dari sudut jaringan tetapi saya berikan pujian buat semua pemain kerana bermain sebagai satu unit dan belajar dari setiap kesilapan sepanjang tiga perlawanan ini,” katanya selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad pula terpaksa menerima hakikat kekalahan kedua pasukannya musim ini dan dia melihat anak-anak buahnya yang lambat menyesuaikan diri dalam perlawanan sebagai punca kekalahan ini.

Jurulatih Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad

“Jika dilihat, pasukan kami beraksi lebih baik pada babak kedua berbanding babak pertama kerana pemain-pemain saya lambat ‘settle down’ dan berhadapan dengan pasukan seperti TOT anda akan dihukum dalam situasi sebegini.

“Banyak perkara yang perlu dierbaiki menjelang perlawanan akan datang dan kami akan memanfaatkan cuti rehat dua minggu ini untuk menggandakan latihan,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Rozairi bagaimanapun tidak mahu menggunakan alasan ketiadaan pemain import sebagai punca pasukannya bergelut tetapi bangga kerana Terengganu dapat memberikan peluang buat pemain tempatan untuk membuktikan keupayaan mereka.

Barisan pemain Gombak TOT United

Gombak TOT United akan bertemu Pahang Rangers selepas ini manakala Terengganu bertemu Selangor FC dalam perlawanan keempat MPFL 2024 yang bakal berlangsung pada bulan Ramadan.