PENGENDALI skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcia mengakui dia masih belum memikirkan tentang kejuaraan liga meskipun selesa mendahului lapan mata dengan aksi yang hanya berbaki lima perlawanan.
Juan yang dihubungi FLASH SUKAN selepas JDT Futsal mempamerkan kebangkitan dramatik menewaskan Shah Alam City 6-5 turut mendedahkan bahawa pasukannya hanya fokus dari satu perlawanan ke perlawanan dengan objektif utama muncul juara liga.
“Kami berjaya menang dalam kesemua sembilan perlawanan setakat ini dan mendahului dengan lapan mata tetapi ini bukan bermakna kami sudah boleh berehat dan menunggu masa untuk bergelar juara.
“Masih banyak perlawanan yang perlu ditempuh dan kami akan mengambil pendekatan satu perlawanan pada satu masa dengan objektif untuk menang dan pasukan kita sedang berada pada tahap yang terbaik,” katanya.
Pengendali asal Sepanyol itu juga turut memuji persembahan pemain import baharu mereka, Bruno Taffy yang jelas mencuri tumpuan peminat tetapi baginya bekas pemain antarabangsa Brazil itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama pasukan.
“Taffy baru seminggu disini dan masih mengadaptasi dengan sistem permainan kami tetapi saya sudah lama mengenali dia kerana pernah bersama-sama dahulu di Sepanyol dan dia adalah pemain yang cukup berkualiti.
“Saya gembira dengan persembahan semua pemain dalam skuad ini bukan hanya Taffy kerana kesemua mereka menunjukkan kesungguhan dalam semua sesi latihan dan ketika perlawanan,” jelasnya.
JDT kini mendahului takhta Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 dengan 27 mata dan akan bertemu pasukan yang sedang dalam prestasi terbaik, Selangor FC di Kompleks Sukan Negara Panasonic pada Ahad.