PENGENDALI skuad JDT Futsal, Juan Antonio Miguel Garcia tidak mahu para pemainnya berasa terlalu selesa meskipun mendahului liga selepas selesai dua perlawanan awal liga.
JDT kini memimpin carta Divisyen 1 Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2024 selepas menang selesa dalam dua perlawanan awal menewaskan Gombak TOT United 6-1 dan Terengganu 8-1 namun ianya bukan jaminan buat JDT berasa yakin dan selesa.
“Saya gembira dengan dua kemenangan ini kerana ianya memberikan keyakinan buat para pemain tetapi saya menyatakan kepada mereka jangan mudah berasa selesa kerana liga masih panjang dan memerlukan fokus 100 peratus.
“Meskipun kami mendahului dengan enam mata dan perbezaan jaringan yang banyak, liga ini sangat kompetitif dan segalanya boleh berubah sekelip mata. Atas sebab itu kami sentiasa berlatih bersungguh-sungguh dan fokus kepada setiap perlawanan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Juan juga masih melihat beberapa kelemahan dalam pasukannya dan menggunakan setiap sesi latihan sebagai tempat untuk memperbaiki masalah itu dan bagi memastikan semuanya berjalan lancar ketika hari perlawanan.
“Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki sebagai satu pasukan dan sesi latihan kami sangat intensif bagi memastikan semua pemain berada pada tahap terbaik dan sedia diturunkan pada bila-bila masa,” tambahnya.
JDT akan bertemu pasukan tempat kedua, Shah Alam City di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada Sabtu dengan misi memburu kemenangan ketiga sekali gus mengukuhkan kedudukan di persada liga.