PENDAHULU Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024, Johor Darul Ta’zim (JDT) menambah kekuatan pasukan selepas mengumumkan kehadiran pemain import baharu dari Brazil, Bruno Taffy.

Bruno dibawa masuk menggantikan Helio Neto yang tidak memperbaharui kontrak selepas tamat pusingan pertama dan kehadirannya ke Pasir Gudang disahkan menerusi laman sosial rasmi JDT Futsal pada Isnin.

Bruno memiliki reputasi yang cukup hebat dengan berpengalaman luas beraksi di Liga Futsal Sepanyol dimana dia baru sahaja menamatkan kempen 2023-24 bersama kelab ElPozo Murcia Costa Calida.

Bruno memiliki musim yang cemerlang apabila meledak 16 gol pada musim ini selain turut pernah menyarung jersi dua lagi kelab gergasi di Sepanyol iaitu Palma Futsal dan Inter Movistar.

Di pentas antarabangsa pula, Bruno yang menganggotai skuad kebangsaan Brazil merasai nikmat selaku juara Copa America 2022 apabila dia dapat menjaringkan dua gol.

Kehadiran Bruno Taffy sudah pasti akan menambah lagi kekuatan JDT Futsal yang mahu mencabar kejuaraan Liga Premier Futsal Kebangsaan dan juga Malaysian Futsal Cup 2024 selepas kecewa dalam kedua-dua pertandingan musim lalu.

Bruno (tengah) ketika mewakili skuad kebangsaan Brazil

Selepas mengharungi tujuh perlawanan liga, JDT mencatatkan kemenangan bersih untuk mengungguli tangga teratas dengan kelebihan lima mata dihadapan pencabar terdekat, Pahang Rangers.