PASUKAN futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas buat pertama kali musim ini selepas tumpas kepada Selangor FC 2-1 dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2024.

JDT turun ke perlawanan di Shah Alam dengan misi untuk mencatat rekod kemenangan bersih yang ke-10 manakala The Red Giants sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam carta liga MPFL.

Perlawanan berlangsung sengit dengan Harimau Selatan lebih banyak melancarkan serangan terhadap kubu tuan rumah melalui percubaan Caio Cesar dan Ridzwan Bakri yang hampir memberikan gol awal buat pasukannya.

Selangor berpeluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-6 minit namun rembatan kencang Wellington Pereira mengenai muka Aiman Fiqry untuk tendangan penjuru diberikan oleh pengadil.

Ketangkasan penjaga gol Selangor, Syawal Sabarudin untuk menyelamatkan beberapa percubaan pasukan pelawat berjaya memastikan pintu gol Gergasi Merah tidak dibolosi sehingga tamatnya separuh masa pertama.

Separuh masa kedua memperlihatkan Gergasi Merah tampil lebih bertenaga dan hampir memecah kebuntuan menerusi Syahir Iqbal namun malang apabila percubaan satu lawan satunya tidak berjaya disempurnakan.

Sebaliknya, JDT yang berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-34 setelah Bruno Taffy menyudahkan sepakan penalti untuk meletakkan Harimau Selatan di hadapan.

Situasi tegang seketika apabila pembantu jurulatih Selangor dilayangkan kad merah selain penjaga gawang JDT, Aiman Fiqry juga diarahkan keluar gelanggang kerana mengasari Wellington Pereira.

Wellington Pereira diberi tanggungjawab penuh untuk menyudahkan sepakan penalti itu namun tendangannya diselamatkan penjaga gol gantian, Azrul Hadee untuk kedudukan kekal 0-1.

Ketika aksi berbaki seminit, Gabriel Rossa menjaringkan gol penyamaan buat Selangor untuk mengikat kedudukan sebelum Syahir Iqbal muncul wira dengan gol kemenangan (2-1) di saat akhir untuk memastikan mereka pulang dengan tiga mata yang berharga.

Kemenangan ini memastikan Selangor naik ke tangga ke-2 dengan 21 mata manakala JDT kekal di puncak liga, enam mata di hadapan pasukan Merah Kuning.