PASUKAN futsal Kedah dan Kelantan masing-masing mempamerkan kehebatan awal dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 2024 apabila mencatatkan mata penuh dalam empat perlawanan pertama.

Selepas berakhir dua minggu, Kedah dan Kelantan masing-masing mencatat 12 mata namun skuad Hijau Kuning mendahului carta dengan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Kelantan.

Skuad Kedah bukan sahaja merajai takhta malah pemain importnya dari Thailand, Nattawat Luksanato kini muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol diikuti pemain Kelantan, Aqil Khalis dengan empat gol setakat ini.

MPFL Divisyen 2 bukan sahaja menyaksikan aksi hebat dari kesemua pasukan tetapi ianya turut mendapat perhatian para penyokong terutama penyokong Kelantan yang mengembalikan semula aura sokongan kepada skuad Cik Siti Wan Kembang.

Sportizza Setapak dan Arena Futsal FAM, Kelana Jaya bergempita dengan sorakan penyokong The Red Warriors yang setia dibelakang pasukan sekaligus memberikan semangat buat para pemain Kelantan mempamerkan aksi cemerlang.

MPFL Divisyen 2 menampilkan 12 pasukan dengan format liga sepusingan di venue berpusat julung kali diadakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha mencari lebih banyak bakat-bakat baharu dalam sukan futsal.

Kehadiran ramai penyokong Kelantan di venue menambah kemeriahan

Sirkit ketiga melibatkan perlawanan kelima dan keenam akan berlangsung pada 13 dan 14 Julai di Arena Futsal FAM dengan Kedah bakal berhadapan Melaka manakala Kelantan menunggu cabaran PJ Champz FC untuk mengukuhkan lagi kedudukan dalam liga.

Selepas berakhir empat perlawanan, kesemua 12 pasukan sudah mendapat mata dengan Pulau Pinang dan Canaan FC menduduki dua tangga terakhir hanya dengan dua mata.